TENGKU Zafrul bakal Presiden BAM yang baharu.
TENGKU Zafrul bakal Presiden BAM yang baharu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menghargai kepercayaan diletakkan di bahunya yang bakal menggalas tugas selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jelas Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, beliau akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan ahli majlis BAM bagi mendengar pandangan mereka.

"Saya dengan rasa rendah diri amat menghargai keputusan dibuat oleh ahli majlis BAM. Saya teruja untuk bertemu dengan mereka. Tidak adil untuk saya buat sebarang kenyataan sehinggalah saya bertemu dan mendengar pandangan daripada mereka. "Mengenai sasaran emas (Olimpik Paris)...kita lihat nanti," katanya menerusi temubual podcast bersama BFM 89.9, semalam.

Menamakan bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain badminton kegemarannya, Tengku Zafrul mahu menjadikan badminton sebagai 'ejen' penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

"Sukan membawa penyatuan semua. Selain bola sepak, badminton juga adalah sukan utama yang boleh menyatukan semua. Saya mahu lihat perkara itu di Malaysia," katanya.

Tengku Zafrul bakal menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengumumkan akan mengosongkan jawatan berkenaan lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini berbanding selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Norza sebelum ini mengumumkan Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara oleh ahli majlis badan induk itu untuk menggantikannya bermula Januari tahun depan selepas memimpin BAM sejak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 5:43 PM