Sebahagian daripada pekerja asing yang yang tidak mempunyai dokumen yang sah ditahan di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang ketika operasi bersepadu Ops Ikrar, hari ini.  FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada pekerja asing yang yang tidak mempunyai dokumen yang sah ditahan di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang ketika operasi bersepadu Ops Ikrar, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Seramai 1,284 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam tempoh 48 jam sejak semalam hasil serbuan ke atas 329 premis di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tangkapan itu dilakukan hasil operasi khas yang dijalankan serentak untuk mengesan PATI di negara ini.

Menurutnya, meskipun kad sementara 'Enforcement Card' (E- kad) dilancarkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada PATI tanpa dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di Malaysia sejak 15 Februari lalu, namun hanya 20 peratus majikan yang membawa pekerja masing - masing untuk berdaftar dalam program itu.

"Sambutan terhadap pelaksanaan program E-Kad) apabila hanya 68,580 atau 20 peratus PATI didaftarkan setakat Isnin lalu sejak ia dilaksanakan pada 15 Februari lalu.

"Jumlah itu masih jauh daripada sasaran Jabatan Imigresen yang menjangkakan 400,000 hingga 600,000 PATI didaftarkan menjelang tarikh akhir program pada 30 Jun ini. Jadi, bagi mereka yang masih berdegil, bersedia berhadapan dengan tindakan tegas seperti hari ini, " katanya pada sidang media selepas tamat Ops Bersepadu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata majikan yang masih degil untuk mendaftarkan pekerja mereka berdepan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal itu selain menegaskan tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 12:05 AM