Siti Fatimah Hassan


TIADA lagi peluang kedua dan mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) dan majikan yang gagal mendaftar program kad sementara Enforcement Card (E-Kad), melainkan akan diambil tindakan serta-merta bermula tengah malam ini.

Itu peringatan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang menegaskan pihaknya tidak akan melayan sebarang permintaan untuk tempoh lanjutan berikutan berlaku kebanjiran ramai pemohon pada saat akhir.

Katanya, sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 155,680 PATI yang sudah didaftarkan membabitkan 26,957 majikan dan sebanyak 140,746 E-Kad dikeluarkan.

"Kita sudah tegaskan sebelum ini, tempoh tidak akan dilanjutkan. Mereka terpaksa menanggung akibat kerana degil dan sengaja melengah-lengahkan pendaftaran sehingga ke saat akhir.

"Kita hanya akan melayan mereka yang datang sehingga 11.30 pagi ini sahaja disebabkan keupayaan yang terbatas. Mereka yang hadir selepas itu terpaksa diketepikan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Bermula tengah malam ini, Jabatan Imigresen (JIM) akan menjalankan gerakan besar-besaran memburu PATI di seluruh negara selain mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang melakukan kesalahan menggaji mereka.

Pendaftaran E-Kad dibuka sejak 15 Februari lalu dan kad itu berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi tujuan menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan untuk membolehkan warga asing terbabit terus bekerja di negara ini.

Selepas mendaftar, majikan dan warga asing itu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 3:23 PM
Pekerja asing berpusu-pusu mendaftar pada hari terakhir program E-Kad di ibu pejabat imigresen di seluruh negara. FOTO Adzlan Sidek dan Faiz Anuar
Pekerja asing berpusu-pusu mendaftar pada hari terakhir program E-Kad di ibu pejabat imigresen di seluruh negara. FOTO Adzlan Sidek dan Faiz Anuar