SEBAHAGIAN pekerja asing yang ditahan bagi pemeriksaan E-Kad dalam Ops Mega di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Taman Gembira, Tampoi. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
SEBAHAGIAN pekerja asing yang ditahan bagi pemeriksaan E-Kad dalam Ops Mega di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Taman Gembira, Tampoi. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Imigresen Johor menahan 315 warga asing termasuk 20 wanita dalam operasi, hari ini, yang dijalankan selepas tamat tempoh pendaftaran E-Kad semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari berkata, semua warga asing itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 680 pekerja asing di tiga premis kilang plastik di Kawasan Perindustrian Taman Gembira dekat Tampoi, Johor selama tiga jam bermula jam 9 pagi.

Beliau berkata, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan bagi pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Seramai 315 PATI ditahan terdiri daripada 295 lelaki dan 20 wanita warga Bangladesh, Nepal, Myanmar dan India.

"Mereka ditahan selepas didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Ada juga yang disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) akta sama selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau passport yang sah.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam Ops Mega yang turut dijalankan di seluruh negeri, Rohaizi mengetuai operasi dengan kekuatan 70 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Pada masa sama, Rohaizi berkata, di Johor, seramai 11,041 PATI sudah didaftarkan bagi permohonan kad sementara, E-Kad yang membolehkan penggajian semula PATI dilakukan.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 2,645 majikan menerusi pendaftaran yang bermula 15 Februari lalu hingga semalam.

"Bagi tempoh itu, seramai 11,921 PATI didaftarkan di bawah E-Kad yang mana 11,041 permohonan diluluskan, manakal sebanyak 880 permohonan ditolak kerana tidak cukup syarat antaranya nama disenarai hitam dan memasuki negara ini selepas tempoh dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, PATI dari Bangladesh mencatatkan pendaftar E-Kad tertinggi iaitu 6,164 orang selain Indonesia (3,025 orang) dan Myanmar (1,134 orang).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 1:37 PM