BERSAMA kumpulan yang sama-sama positif.
BERSAMA kumpulan yang sama-sama positif.
MENCUBA semampu boleh.
MENCUBA semampu boleh.
BERSAMA kumpulan yang sama-sama positif.
BERSAMA kumpulan yang sama-sama positif.
Kusyi Hirdan


Sebenarnya penulis mencari wanita yang memenuhi kriteria bersemangat tinggi menurunkan berat badan walaupun sudah melepasi usia persaraan. Yang ditemui bukan hanya cerita inspirasi mengenai semangat menguruskan badan tetapi juga membina keyakinan dan aura positif sebagai pesakit kanser payudara dua tahun lalu.

Habibah Sulaiman Ashraf, 60, merantau jauh demi kerjaya dalam dunia pendidikan. Bersama suami, mereka membina keluarga di Semenanjung. Baru bersara tahun ini, guru Sejarah dan Bahasa Malaysia yang sudah berbakti mengajar anak bangsa selama lebih 40 tahun, kini merenung hidup daripada sudut berbeza. Kebahagiaan bukan diharap datang sendiri tetapi perlu mencarinya tanpa mengira usia.

Lulusan Universiti Putra Malaysia ini mengambil bidang linguistik, berasal dari Papar, Sabah dan sudah berada di Semenanjung sejak 1982. Bersama seorang anak perempuannya, kami bertemu di sebuah padang kawatan perumahan yang terdapat dua kumpulan bersenam dan bersukan. Mereka semua berbaju biru, antaranya Habibah, peserta paling senior.

Kami melihat rutin senaman mereka yang boleh dikatakan mencabar sekali meskipun bagi yang berusia jauh lebih muda daripada Habibah.

Ada masa jurulatih memberi semangat kepada peserta supaya menghabiskan rutin tetapi pada masa sama mengingatkan Habibah supaya jangan keterlaluan dan mengikut kemampuannya. Namun dia berusaha juga melakukan rutin sebaik mungkin.

Apabila tidak mampu, langkahnya diperlahankan. Kemudian dia mencuba lagi. Sebaik selesai, tampak semuanya gembira walaupun penat. Mereka gembira dengan peluh yang membasahi baju. Ia umpama melepaskan sebuah kelegaan.

Habibah kelihatan bersemangat dan sudah terbiasa dengan rutin yang diikutinya bersama jurulatih Rohani Bohari selama enam minggu yang lalu. Dan kini dia mengikuti program lanjutan.

Sebaik tamat sesi senaman pagi itu, kami mencari tempat sesuai bagi mendengar perjalanan Habibah menyertai program Jom Kurus JK1M bersama kumpulan Subang Jaya.

Ketika Habibah menyedari dipilih untuk diuji Allah dengan penyakit kanser, penyertaannya bersama kumpulan senaman itu ternyata memberi begitu banyak hikmah tersendiri.

Dia mulai sedar sesuatu yang tidak kena terhadap tubuhnya pada akhir 2014. Hati kecilnya tahu, ia mungkin sesuatu yang ditakuti oleh semua manusia di dunia ini. Lalu dia mencuba usaha rawatan secara alternatif namun selepas enam bulan, keadaan masih tidak berubah.

Selepas jangka masa itulah Habibah baharu mendapat kekuatan untuk ke hospital menjalani pemeriksaan. Ia bukanlah perkara yang mudah. Allah sahaja mengetahui apa yang dirasanya, yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Bukanlah saya tidak mahu menerima kenyataan atau mahu menafikannya. Tetapi terus terang, ia bukanlah mudah. Siapa yang tidak takut. Saya sendiri mengambil masa untuk memujuk dan menguatkan diri sendiri ke hospital. Selepas melakukan biopsi, doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap dua,” katanya.

Habibah masih ingat proses yang dilaluinya begitu pantas. Dia melalui pembedahan membuang payudaranya pada Ramadan 2015, diikuti dengan kemoterapi sebanyak enam pusingan dan radioterapi 18 pusingan.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu seboleh-bolehnya mahu merahsiakan penyakitnya daripada keluarga. Tetapi kemudian dia sedar, mereka juga berhak tahu lalu memberi kebenaran kepada suaminya.

“Saya sebenarnya tak mahu ibu bapa susah hati. Mereka sudah tua, saya kasihankan mereka. Tapi kemudiannya saya beritahu juga,” katanya.

Tentu sahaja setelah diberitahu, Habibah mendapat doa yang tidak putus-putus daripada ahli keluarga terutama ibu bapanya sendiri. Di mana lagi untuk kita mendapat doa yang suci murni melainkan daripada orang tua yang melahirkan kita.

“Selepas semua sesi kemoterapi dan radioterapi selesai, semangat saya masih tinggi. Memanglah lemah tetapi saya sebenarnya berusaha untuk bangun dan melawannya. Saya ajak suami berjalan, tak mahu duduk terbaring sahaja di rumah sampaikan suami terkejut sebab dia risau saya tak larat dan lemah.

“Tapi saya beritahu, ini yang saya mahu buat. Saya kena lawan,” katanya.

Tentu saja kesan kedua-dua rawatan kanser akhirnya membuatkan Habibah tidak bermaya dan waktu itu dia dijaga oleh suami dan anak-anaknya.

“Selepas itu, proses penyembuhan pula. Waktu inilah berat badan naik kerana keluarga menyuruh saya makan saja walaupun tiada selera. Mereka kata saya perlu makan untuk mendapatkan tenaga. Yang terjadi, berat badan naik mendadak sehingga 90 kilogram (kg),” katanya.

IDEA ANAK

Setelah lebih 40 tahun mengajar, bersara adalah rehat yang dinanti-nantikan. Habibah sebenarnya mahu melakukan banyak perkara tetapi dia diuji dengan dugaan yang besar itu. Dia memerlukan sesuatu untuk melupakan apa yang terjadi serta mendapatkan semangatnya kembali.

Tanpa sengaja dia mendapat idea daripada anak perempuannya sendiri.

“Pada mulanya saya yang mahu menyertai kumpulan Jom Kurus Malaysia di bawah kendalian kumpulan Kevin Zahri. Emak beritahu dia mahu mengikut sama,” cerita anaknya, Elyza Nazmi.

Elyza tidak begitu menerima permintaan emaknya. Dia tahu apa yang akan mereka lalui nanti memerlukan kekuatan dan kesabaran tinggi.

“Saya rasa tak yakin hendak babitkan emak. Rasa tak percaya juga yang dia mahu ikut serta. Kami sekeluarga risau keadaan kesihatan dia sebenarnya. Banyak kali saya bertanya dan emak tegaskan, dia mahu mengikut! Jadi saya daftarkan namanya sekali,” katanya.

Kemudian Elyza memikirkan, mungkin ini boleh memberi kebaikan kepada emaknya.

“Selepas sesi kemoterapi dan radioterapi, dalam proses penyembuhan, memang emak sangat stres dan murung. Dia tak gembira. Alhamdulillah, kini dia lebih gembira dan tenang malah bersemangat semula. Nampaknya emak mempunyai kekuatan yang tinggi,” katanya.

Habibah dengan penuh disiplin mengikuti program senaman enam minggu bersama Elyza dan ahli kumpulan yang lain. Mereka mendapat kebaikan daripada bersenam dan melalui susah senang bersama. Apabila berjaya menurunkan berat badan, mereka tahu betapa istimewanya perasaan itu.

“Saya mahu dapatkan cara bagi menjadikan diri positif, melupakan penyakit yang menimpa dan menguatkan diri. Saya juga mahu bersama orang positif. Tidak dinafikan, ada masa kita diganggu dengan perkara yang melemahkan.

“Kenapalah aku yang mendapat penyakit ini? Akulah yang pertama dalam keluarga yang terkena. Kerana aku gemukkah? Ditambah pula kata-kata orang lain yang berunsur negatif, kita pun terpengaruh walaupun sebenarnya, Allah yang memberikan semua ini dan ada hikmahnya. Allah menguji hamba-Nya. Kini saya rasakan seperti orang yang berbeza dengan semangat baharu.

“Ya, benar. Kanser bukan hanya menyerang orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Kita mesti menerima hakikat setiap dugaan Allah kerana Dia Maha Mengetahui. Manusia tidak mungkin tahu rahsia Allah.

“Seronok dapat bersama-sama orang yang bersemangat tinggi dalam kumpulan senaman ini. Saya cuba mengikuti semua rutin senaman dan sentiasa mengikut jadual. Makanan pun saya jaga. Seminggu sekali kami kena timbang berat badan. Alhamdulillah, sekarang sudah turun 4.8kg, seronok sangat,” katanya.

Habibah merasakan usaha dan penat lelahnya berbaloi. Paling penting dia merasa lebih sihat.

“Apabila berat sudah turun kita rasa semakin cergas. Sakit kaki pun sudah berkurangan. Sekarang saya solat duduk menggunakan kerusi. Antara sasaran saya adalah mahu kembali bersolat secara normal. Saya mahu rasai nikmat sujud kembali, insya-Allah,” katanya.

Kata Habibah, kini dia terasa rindu sekiranya tidak bersenam. Ia petanda yang sangat baik. Bersenam memang aktiviti dan hobi yang menguntungkan diri lagi memberi bermanfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 11:27 AM