SARI (berniqab) bersama sebahagian pelajarnya.
SARI (berniqab) bersama sebahagian pelajarnya.
Kusyi Hirdan

Sudah lama penulis mencari studio senaman sebegini, khas untuk wanita dan dibuka menepati syariah. Studio dari wanita untuk wanita. Wanita bebas membuat senaman tanpa perlu risau dilihat lelaki bukan mahram. Hendak buka tudung pun tidak mengapa.

Tidak sangka menemuinya di Jasin, daerah terbesar Melaka dengan penduduk kira-kira 140,000 orang. Mungkin di tempat lain ada tetapi penulis menemuinya di Melaka, memang sesuatu yang menyegarkan hati.

Studio senaman bernama Sari Aerobic Studio membawa penulis menemui Saribanun Abdul Ghani, 50, (Sari).

Pada hari itu Sari dan pelajarnya lengkap berpakaian menutup aurat kerana tuntutan penulis yang mahu merakam gambar mereka dan datang bersama jurugambar lelaki.

“Saya sudah memesan mereka memakai sempurna untuk Harian Metro. Kalau sesama sendiri, kami berpakaian baju senaman yang sesuai,” katanya.

Studio Sari terletak di Taman Bandar Jasin Bestari, sebuah taman lot kedai yang baharu dan menarik juga berdekatan sebuah pasar raya besar. Tidak susah mencarinya.

Ketika tiba di sana, Sari serta pelajar sudah mahu memulakan senaman. Mereka bermula dengan memanas badan, regangan dan diikuti senaman kardio. Selepas itu senaman menjadi lebih bertenaga.

“Kebanyakan mereka sudah mampu mengikut rentak walaupun pada pergerakan yang bertenaga. Namun bagi yang baharu atau belum mampu mengikutinya, mereka melakukan setakat yang boleh,” katanya.

Berpengalaman kira-kira 30 tahun di bidang senaman aerobik, Sari berasakan senaman adalah jiwanya.

“Apabila menjadi gemuk, saya tahu untuk mengatasinya dengan bersenam. Dahulu saya tidak bertudung tetapi apabila sudah melakukan penghijrahan dan berniqab, saya tidak mahu ambil mudah sebaliknya mahu membuat sesuatu yang menepati syariat.

“Saya berasakan dengan berniqab tidak bermakna minat ini perlu berhenti kerana ia tidak pernah hilang dari diri saya. Lalu saya mengambil keputusan membuka studio sendiri pada 2012. Cari tempat sesuai dan tampal iklan pemberitahuan mengenai kelas saya. Waktu itu yang datang hanya sekitar enam peserta,” katanya.

Sari meneruskan niatnya apabila pelajar semakin bertambah dari sehari ke sehari. Sehingga kini dia sudah mempunyai kira-kira 300 pelajar dengan 200 daripadanya aktif. Ramai juga yang datang bertukar ganti. Setiap kali pelajar yang terbabit kira-kira 30 orang bagi setiap sesi. Mereka berumur antara 19 hingga 60 tahun. Ada yang berkerjaya, pelajar mahupun suri rumah.

Ternyata ramai pelajar Sari turut menjiwai apa yang disukai Sari iaitu bersenam. Mereka menjadi ‘ketagih’ dan tidak suka meninggalkan rutin itu sehinggakan sekiranya Sari perlu bercuti, mereka tidak menyukainya.

“Mereka bergurau, kalau saya hendak bercuti, kena dapat pelepasan daripada mereka semua dahulu. Mereka selesa dengan konsep yang saya perkenalkan di sini,” katanya.

Ia dipersetujui Wan Hamizah Ismail, 42, pegawai pendidikan di Jasin yang berkata, sudah tahun ketiga dia mengikuti kelas di studio Sari.

“Saya memang meminati senaman jadi apabila sudah ada studio sebegini mudah untuk datang dan menjadi konsisten. Apabila bersenam kita menjadi lebih cergas dan bertenaga. Dahulu memang saya suka sertai mana-mana program senaman tetapi di Sari Studio saya dapat lebih lagi. Di sini senamannya lengkap dan menyeluruh untuk seluruh tubuh mendapat manfaatnya,” katanya.

Wan Hamizah rasa lebih cergas dan seronok. Senaman baginya mudah menghilangkan tekanan kehidupan dan kerjaya.

“Yang seronoknya di sini, senamannya penuh. Daripada aktiviti memanaskan badan, kardio, senaman otot dan banyak lagi,” katanya.

Begitu juga guru dari SMK Sri Bemban, Ratha Kupusamy, 52, juga sudah tiga tahun mengikut kelas bersama Sari. Ibu kepada empat anak ini bercerita bagaimana bersenam begitu banyak mengubah hidupnya dan cara dia berdepan kehidupan setiap hari.

“Paling ketara ialah perubahan diri. Dahulu saya begitu banyak penyakit dan sentiasa rasa lemah. Doktor nasihatkan sekiranya mahu kembali sihat saya kena bersenam. Ia memang benar. Saya cergas dan rasa muda,” katanya.

Bagi yang bergelar ibu tidak dapat dielakkan mereka perlu membawa anak bersama ketika bersenam. Sari membenarkan asal tidak mengganggu.

“Saya benarkan mereka bawa anak cuma tidak boleh kacau atau lepas bebas di dalam studio sehingga mengganggu program yang berlangsung. Suami pelajar saya suka isteri mereka datang ke sini kerana konsep yang saya tekankan. Ia menepati syariat Islam. Saya juga tak benarkan sebarang gambar atau video diambil untuk laman sosial kerana waktu itu kami memakai pakaian senaman dan tidak menutup aurat. Kalau nak ambil juga pastikan dah tutup aurat dengan sempurna,” katanya.

Sari turut mengadakan latihan kursus aerobik untuk yang mahu menjadi pengajar, berserta cara pemasarannya. Ibu kepada enam anak ini menetapkan syarat utama kepada pihak yang menjemputnya iaitu untuk peserta wanita saja dan dibuat secara tertutup.

Walaupun sudah begitu lama berkecimpung dalam bidang senaman, Sari tidak kisah untuk memperbaiki dan memperbaharui tekniknya seiring kemodenan dan keinginan warga muda.

“Saya selalu menghadiri kursus terkini untuk meningkatkan pengetahuan dan pengajaran saya contohnya mengenai senaman dan juga lagu terkini,” katanya.

Puas dengan apa yang dilakukan terutama tatkala pelajarnya mengatakan mereka sudah berubah menjadi lebih cergas dan sihat, Sari mahu agenda bersenam sentiasa diutamakan dalam kehidupan dan tidak memberi sebarang alasan mengelak bersenam.

“Selalu orang bertanya berapa kerap kita perlu bersenam, bagi saya jawapannya ialah setiap hari pun boleh kerana pemakanan kita yang begitu mewah dan menggemukkan. Jadi kita kena bakar segera kalori setiap hari. Apa tidaknya, selepas bersenam pun kita makan sepinggan nasi goreng dan pelbagai makanan lain. Bermakna tiada salahnya bersenam setiap hari,” katanya.

Sari menjalin hubungan rapat dengan pelajarnya dan mereka sudah dianggap umpama keluarga.

“Selain di studio kami berhubung juga melalui kumpulan di laman sosial dan laman saya Sari Aerobic Studio untuk apa-apa perkongsian maklumat,” katanya.

Sifat keibuan Sari membuatkan dia juga menjadi tempat mengadu dan meluah rasa pelajarnya.

“Saya sebenarnya tidak suka bersosial di luar. Dunia saya lebih kepada keluarga dan senaman di studio ini. Kebanyakan mereka datang untuk bersenam, juga untuk merehat minda, melegakan diri daripada tekanan seharian. Kami saling berkongsi cerita. Mereka selalu kata saya ini serba boleh, bukan untuk jadi sihat saja tetapi tempat mengadu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 1:34 PM