MARQUEZ ketika sesi latihan di Litar Americas.
MARQUEZ ketika sesi latihan di Litar Americas.
AFP

Washington: Juara dunia empat kali Marc Marquez mencatat masa terpantas pada sesi latihan Grand Prix Amerika Syarikat sambil pendahulu kutipan mata musim ini Maverick Vinales menduduki tempat ketiga.

Marquez yang menunggang Honda, melengkapkan catatan di litar sepanjang 5.5 kilometer di Litar Americas, Austin, dalam masa 2 minit 4.061s dan diekori pelumba Yamaha Johann Zarco di tempat kedua, .286s di belakangnya.

“Latihan kami berjalan baik dan di sesi kedua, saya mula merasa lebih selesa dengan motosikal yang dinaiki,” kata Marquez. “Tetapi masih ada beberapa bahagian di mana kami perlu perbaiki terutamanya untuk memastikan kami dapat mendahului dengan lebih selesa.

“Perkara positif pada sesi kali ini ialah kami dapat melengkapkan pusingan dan mencuba semua tayar. Kami turut menggunakan tayar lembut untuk menguji tahap keberkesanan brek. Di sebelah petang, kami mencuba sistem elektronik, keserasian serta cuba meningkatkan kestabilan jentera di laluan tidak rata.”

Marquez menang semua empat perlumbaan Moto GP yang berlangsung di litar berkenaan selain tidak pernah gagal menakluk petak utama.

Vinales yang menunggang Yamaha dan muncul juara di Qatar serta Argentina musim ini, mencatat 2:04.923s tetapi tidak dapat memintas catatan Marquez dan ketinggalan .390s di belakang.

“Inilah kali pertama saya di sini bersama jentera Yamaha M1 dan saya rasa seronok,” kata Vinales yang pernah muncul juara di Texas pada saingan Moto2 pada 2014.

“Sudah tentu kami perlu bekerja lebih keras terutamanya menyiapkan semuanya sebelum perlumbaan sebenar tetapi setakat ini saya gembira serta yakin. Saya percaya kami mampu melakukan lebih baik nanti.”

Ketika menggunakan jentera Suzuki di Texas musim lalu, Vinales sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Pelumba yang mencatat masa keempat terpantas pada sesi itu ialah Valentino Rossi.

“COTA sering menjanjikan kesukaran buat kami tetapi ia tetap seronok,” kata Rossi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 4:46 AM