AFP

Termas de Rio Hondo, Argentina: Maverick Vinales (gambar) menjuarai Grand Prix Argentina semalam, melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan dunia selepas kejayaan pada perlumbaan pembuka tirai di Qatar.

Pelumba Sepanyol Vinales, yang menunggang Yamaha, mendahului perlumbaan seawal pusingan keempat apabila juara dunia dan pemenang petak pertama Marc Marquez yang memacu Honda mengalami kemalangan apabila motosikalnya terbabas ke kawasan kerikil di selekoh kedua dengan percikan api kelihatan di litar.

Valentino Rossi, yang menunggang jentera Yamaha kedua dalam perlumbaan Grand Prix ke-350, menduduki tempat kedua, ketinggalan 2.915 saat.

Pelumba Britain Cal Crutchlow, yang menunggang Honda, di tangga ketiga selepas dipintas Rossi enam pusingan sebelum tamat.

Ia kemenangan ketiga buat Vinales, 22, dalam perlumbaan kelas elit selepas berpindah dari Suzuki ke Yamaha musim ini.

“Marquez bermula hebat dan apabila dia terbabas saya katakan kepada diri, saya perlu mengutip mata sebanyak mungkin,” ujar Vinales yang mengumpul 50 mata selepas dua perlumbaan, 14 mata mengatasi Rossi.

“Saya rasa sungguh gembira dan yakin. Kami bagaikan berada di alam mimpi. Saya perlu berterima kasih kepada pasukan, mereka melakukan tugas cemerlang jadi teruskan sebegini.”

Rossi, 38, menduduki tempat kedua selepas tangga ketiga di Qatar tetapi mengakui Vinales, 16 tahun lebih muda berbandingnya adalah pelumba yang perlu ditewaskan.

“Malangnya Maverick lebih pantas tapi keputusan ini amat penting buat saya dan seluruh pasukan,” kata pelumba Itali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:16 AM