Nur Anisah (kiri) dan Afiqah Zahra, di depan bangunan tempat berlangsungnya Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 201 di Iasi, Romania, bermula esok. FOTO ihsan Salihin
Nur Anisah (kiri) dan Afiqah Zahra, di depan bangunan tempat berlangsungnya Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 201 di Iasi, Romania, bermula esok. FOTO ihsan Salihin
HM Digital

 

Kuala Lumpur: Dua beradik, Nur Anisah Salihin 17, dan Afiqah Zahra, 7, yang kini di Iasi, Romania bagi menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 bersedia menghadapi pusingan pertama esok dengan semangat membara selain diiringi doa rakyat Malaysia.

Dua beradik itu yang dapat ke pertandingan berkenaan atas pengorbanan bapa, Salihin Ahmad, 45, dan ibu, Nor Zamilahton Zakaria, 39, yang sanggup menjual rumah menjalani latihan ringan hari ini dan bersantai dengan berjalan- jalan di kawasan sekitar.

Salihin berkata, dua anaknya itu akan bertanding pusingan pertama kira-kira 11 malam waktu Malaysia.

"Alhamdullilah atas sokongan rakyat Malaysia. Selepas ini ada lagi kejohanan di Mongolia dan China. 

"Jika Ada yg ingin membantu, wang diberi akan diguna utk kejohanan akan datang dan selebihnya akan digunakan untuk pembangunan catur.

"Masalah dana punca banyak aktiviti pembangunan tak dapat dijalankan. Saya ada membuka pusat pembangunan catur di Klang sejak 2008, alhamdullillah ada bintang menyinar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.  

Harian Metro semalam melaporkan kisah pengorbanan guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang, Selangor itu yang bersama isteri berkorban demi anak apabila sanggup menjual rumah dimiliki sejak 17 tahun lalu di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.

Tujuannya, bagi menampung kos perjalanan ke pertandingan berkenaan kerana tiada tajaan dan dana.

Pengorbanan suami isteri itu mendapat perhatian netizen yang menyatakan sokongan dan ada juga yang mahu menghulurkan sumbangan.

Kepada sesiapa yang mahu membantu boleh hubungi Salihin ditalian +60122322417

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 9:57 PM