Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama keluarga Salihin dan anaknya Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada pada 3 Mei lalu, turut kelihatan isterinya, Nor Zamilahton Zakaria, 39. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR (Gambar fail)
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama keluarga Salihin dan anaknya Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada pada 3 Mei lalu, turut kelihatan isterinya, Nor Zamilahton Zakaria, 39. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR (Gambar fail)
Mazizul Dani


ATLET catur cilik, Afiqah Zahra Salihin, 7, bakal menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Catur Sekolah Asia 2017 di Panjin Lianoing, China, bermula 21 Julai hingga 30 Julai ini.

Bapa merangkap jurulatihnya, Salihin Ahmad, 45, berkata, kali ini Afiqah Zahra (anak ke-6 daripada sembilan beradik) akan ditemani dua kakaknya, iaitu Farah Liyana, 9, (anak ke-5) dan Alya Izzati, 10 (anak ke-4).

"Masing-masing akan menyertai kategori perempuan bawah 7 tahun, 9 tahun dan 11 tahun dalam kejohanan yang dijangka disertai lebih 30 peserta Malaysia.

"Untuk pertandingan kali ini, anak-anak berlatih empat kali seminggu dan dua jam setiap kali latihan di pusat catur saya, Dream Chess Master Centre," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro pada 21 April lalu menyiarkan berita mengenai pengorbanan Salihin dan isterinya, Zamilahton Zakaria, 39, yang sanggup menjual rumah kedua mereka di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.

Keputusan itu dibuat semata-mata untuk membawa Afiqah Zahra dan anak sulungnya, Nur Anisah, 17, ke Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania.

Afiqah Zahra ketika itu mengakhiri saingan di kedudukan kelima terbaik daripada 28 peserta dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

"Kali ini perbelanjaan masih menggunakan wang sendiri termasuk baki wang jualan rumah dahulu. Ada juga sumbangan kira-kira RM500 daripada orang ramai.

"Saya sedang cuba untuk dapatkan tajaan daripada Pejabat Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk menampung kos ke sana," katanya yang sudah membelanjakan RM6,300 untuk membeli tiket penerbangan.

Salihin yang juga guru bahasa melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang berkata, dia juga perlu menyediakan RM11,252 untuk kos penginapan mereka berempat di sana nanti.

"Sepatutnya seorang lagi anak Hannah Farisah, 12, (anak ke-3) turut serta tetapi dia tidak sihat kerana dijangkiti Virus Chikungunya sejak Ramadan lalu.

"Jadi, saya tak dapat nak bawa anak-anak lain untuk sertai kejohanan pemanas badan buat masa ini kerana terpaksa menjaga anak yang sakit," katanya.

Ditanya mengenai harapan dalam kejohanan itu nanti, Salihin berkata dia tidak mahu memberi tekanan kepada anak-anaknya seperti yang berlaku kepada Afiqah Zahra semasa di Romania.

"Saya takut untuk meletakkan harapan kepada mereka memandangkan peserta peringkat Asia juga hebat termasuk dari Mongolia. Tetapi InsyaAllah, dalam kalangan 10 terbaik untuk mereka bertiga.

"Seperti pada kejohanan lalu, saya juga mohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan dan memberi semangat yang positif kepada anak-anak saya dalam kejohanan itu nanti," katanya.

Salihin yang juga Pegawai Teknik dan Pembangunan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Klang sejak 1996 turut melatih anak keduanya, Ahmad Danial Aqil, 16.

Ahmad Danial akan mewakili Selangor dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia di Pahang, Ogos nanti dan turut disertai Farah Liyana dan Alya Izzati.

Pada 3 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempat bertemu Salihin dan keluarga serta menyatakan rasa berbangga dengan pencapaian anak-anak Salihin pada pertandingan di Romania itu.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap Salihin yang menunjukkan hakikat pengorbanan seorang guru untuk melihat kejayaan anak muridnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:37 PM