Mazizul Dani


Klang: “Terima kasih Harian Metro yang membuat laporan setiap hari dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan kami ketika di sana (Romania).

"Susulan laporan itu, saya menerima sokongan besar, saya teruskan usaha mengangkat martabat sukan catur walaupun sumber kewangan terhad namun doa dan semangat iltizam itu penting."

Demikian kata guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang, Salihin Ahmad, 45, selepas kisah pengorbanannya dilaporkan Harian Metro sejak 21 April lalu.

Salihin dan isteri, Zamilahton Zakaria, 39, menjual rumah kedua mereka di Segamat, Johor, dengan harga RM65,000 untuk membawa dua anaknya ke Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania, April lalu.

“Pengalaman ketika dua kejohanan di luar, di Pattaya, Thailand pada Mei lalu dan Korea Selatan pada Ogos, saya tidak dapat bantuan 100 peratus sehingga terpaksa guna segala yang ada, termasuk bergolok gadai.

"Saya berbincang dengan isteri untuk jual rumah berkenaan sejak Ogos kerana urusan penjualan rumah memakan masa dan apabila dapat saja duit, saya bayar deposit untuk sertai pertandingan di Romania," katanya ketika ditemui Harian Metro di pusat catur miliknya, Dream Chess Master Centre di sini, hari ini.

Koleksi pingat dan piala kemenangan enam anak Salihin dalam sukan catur dan gambar kanan bawah, Nur Anisah (kiri) dan Afiqah Zahra (kanan) yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia di Romania, April lalu.
Koleksi pingat dan piala kemenangan enam anak Salihin dalam sukan catur dan gambar kanan bawah, Nur Anisah (kiri) dan Afiqah Zahra (kanan) yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia di Romania, April lalu.

Dua anaknya, Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, masing-masing bertanding dalam kategori perempuan bawah 17 tahun dan tujuh tahun dalam pertandingan disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 44 negara.

Afiqah Zahra menduduki tangga ke-5 keseluruhan daripada 28 peserta, manakala Nur Anisah, di kedudukan ke-19 daripada 26 peserta.

Pengorbanan Salihin untuk keluarganya itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertemunya dan keluarga sebaik pulang dari Romania.

"Saya rasa bagaikan mimpi dapat bertemu Perdana Menteri. Beliau maklumkan akan ada agensi berkaitan untuk menyokong pembangunan sukan catur supaya setaraf dengan sukan lain.

"Lega rasanya apabila orang nampak potensi kejayaan yang mampu dilakar atlet sukan catur di peringkat antarabangsa. Malaysia ramai atlet berbakat tetapi kewangan jadi kekangan," katanya yang juga Pegawai Teknik dan Pembangunan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Klang sejak 1996.

Salihin yang juga bapa kepada sembilan anak, berkata bercadang membawa Afiqah Zahra (anak ke-6) dan anak ke-5 yang juga Women Candidate Master (WCM), Farah Liyana, 9, menyertai Kejohanan Catur Sekolah Asia 2017 di China, Julai nanti.

“Namun, saya perlu mencari penaja seperti tiket penerbangan atau tajaan wang tunai," katanya.

Tiga lagi anaknya yang meneruskan legasi sukan catur ialah Ahmad Danial Aqil, 16, (anak ke-2); Hannah Farisah, 12, (anak ke-3) dan Alya Izzati, 10, (anak ke-4).

Mengenai Dream Chess Master Centre yang ditubuhkan sejak 2008 itu, Salihin berkata, ia satu-satunya pusat catur yang ada di Klang.

“Ia kini mempunyai 20 pelajar pelbagai kaum berusia antara enam hingga 17 tahun," katanya yang menyewa premis di tingkat dua itu dengan harga RM1,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 10:54 PM
Salihin bersama enam anaknya ketika latihan di Dream Chess Master Centre, Klang. - Foto SHAHRUL REDZUAN
Salihin bersama enam anaknya ketika latihan di Dream Chess Master Centre, Klang. - Foto SHAHRUL REDZUAN