Hayati Ibrahim


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat berbangga dengan pencapaian dua pemain catur Nur Anisah Salihin, 17 dan Afiqah Zahra Salihin, 7 yang menempa kejayaan pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.

Beliau turut melahirkan penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap Salihin Ahmad, 45 yang juga bapa kepada dua pemain catur berkenaan yang menunjukkan hakikat pengorbanan seorang guru untuk melihat kejayaan anak muridnya.

"Pengorbanan cikgu Salihin dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pertandingan ini adalah satu manifestasi, komitmen dan kesungguhan mereka terhadap anak mereka.

"Saya yakin bakat seperti ini perlu dipupuk dan ini pasti akan mengharumkan nama negaraku Malaysia.

"Tahniah kepada cikgu Salihin dan semua peserta Malaysia di Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017,"katanya ketika mengadakan pertemuan dengan keluarga Salihin di Bangunan Putra Perdana di di sini, hari ini.

Sementara itu, Salihin berkata, pada pertandingan itu Afiqah Zahra menduduki tempat kelima dunia kategori Perempuan Bawah Tujuh Tahun selepas seri dua kali di pusingan akhir.

Katanya, kejohanan selama sembilan hari itu amat mencabar buat Afiqah Zahra untuk menamatkan sembilan pusingan sebelum berjaya ke peringkat akhir.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menjemput kami untuk berjumpa beliau dan memberikan kata semangat kepada anak-anak untuk terus berjuang dan menempa kejayaan pada masa akan datang,"katanya.

Harian Metro setiap hari melaporkan kisah Salihin bermula sejak dia dan anaknya ke Romania.

Salihin yang juga guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang serta isteri, Nor Zamilahton Zakaria, 39, sanggup menjual rumah kedua yang dimiliki sejak 17 tahun lalu di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.

Tujuannya, untuk menampung kos perjalanan ke Iasi, Romania, supaya dua anaknya, Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, dapat menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017.

Pengorbanan itu terpaksa dilakukan disebabkan kekurangan dana dan tiada penajaan, asalkan dua anaknya itu berpeluang bertanding dan menerima pendedahan dalam kejohanan disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 41 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 4:09 PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama keluarga Salihin Ahmad, 45, dan anaknya Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania baru baru ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama keluarga Salihin Ahmad, 45, dan anaknya Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania baru baru ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Antara laporan Harian Metro mengenai Salihin bersama dua anaknya yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.
Antara laporan Harian Metro mengenai Salihin bersama dua anaknya yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.