AFIQAH (kanan) selepas perlawanan dengan pemain Mongolia. FOTO ihsan Salihin Ahmad
AFIQAH (kanan) selepas perlawanan dengan pemain Mongolia. FOTO ihsan Salihin Ahmad
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Doakan kesihatannya supaya dia dapat terus fokus,” kata Salihin Ahmad, 45, bapa kepada pemain catur cilik, Afiqah Zahra, 7, selepas berakhir pusingan keenam Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.

Afiqah Zahra sekali lagi seri selepas berdepan lawan ketiga dari Mongolia, Pagamdulam Munkhdemberel dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Salihin berkata, anak keenam daripada sembilan beradik itu mungkin kepenatan sehingga melakukan kesilapan.

"Mungkin dia penat kerana masih lagi ikut waktu Malaysia, solat Isyak hampir 10 (malam) baru masuk waktu dan subuh 5.30 pagi matahari dah terbit. Waktu tidur pendek.

"Biasa habis game (permainan) 6 petang atau 7 malam. Lepas Maghrib 8.30 malam dah mengantuk termasuk saya. Dah kira 1.30 pagi di Malaysia. Namun itu semua bukan untuk jadi alasan.

"Cara dia berfikir tadi (semalam) kurang tepat. Saya sendiri tidak pasti mengapa tahap pemikirannya rendah kali ini. Nasib baik pemain Mongolia ini tidak nampak kesilapan-kesilapan awal yang dilakukannya. Saya amat berharap agar dia dapat perbaiki kesilapan yang telah dilakukannya. Ketika dia kalah dengan pemain Mongolia yang lain kesilapannya sedikit saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Afiqah Zahra turut seri dalam pusingan kelima dengan pemain Azerbaijan, Lala Nasirova dan pernah menang di pusingan pertama ke atas pemain Mongolia, Gantsolmon Enkhuyanga manakala tewas di pusingan ketiga dengan Maral Bat-Ulzii.

Sementara itu, kakaknya, Nur Anisah, 17, turut berkongsi mata dengan peserta Sri Lanka, Dilmi Udaransi Jaywardane apabila seri dalam kategori perempuan bawah 17 tahun.

Kisah tiga beranak ini meruntun hati netizen di Facebook (FB) selepas Salihin sanggup menjual rumah keduanya pada harga RM65,000 untuk menampung kos perbelanjaan dua anaknya itu ke pertandingan di bandar Iasa sehingga 30 April ini.

Empat anak Salihin sebenarnya layak ke pertandingan itu, tetapi disebabkan kekangan kewangan, guru bahasa melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang itu hanya mampu membawa Afiqah Zahra dan Nur Anisah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:54 AM