PEMAIN LionsXII meraikan kemenangan pada separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terenganu. FOTO Aswadi Alias
PEMAIN LionsXII meraikan kemenangan pada separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terenganu. FOTO Aswadi Alias
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Tindakan pengadil membatalkan gol keempat Terengganu pada minit ke-89 kerana ofsaid ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA bertemu LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu lalu adalah tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM Goh Ah Chai menjelaskan dua situasi menerangkan definisi untuk menyatakan seseorang pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus jika dia menjaringkan gol, maka jaringan berkenaan adalah tidak sah.

Katanya, situasi pertama, kedudukan pemain itu adalah paling hampir dengan garisan gol pasukan lawan.

“Ia bermaksud, mana-mana bahagian kepala, badan atau kaki pemain itu berada lebih hampir dengan garisan gol pasukan lawan berbanding kedua-duanya iaitu bola dan pemain kedua terakhir pasukan lawan. Bahagian lengan bagaimanapun tidak termasuk dalam definisi ini.

“Situasi kedua, pemain berkenaan bertindak mengganggu permainan. Ia bermaksud, pemain itu memainkan bola atau menyentuh bola yang dihantar atau disentuh oleh rakan sepasukannya.

Jadi berdasarkan dua definisi di atas ini, jelas menunjukkan bahawa gol keempat Terengganu yang dijaringkan pemain jersi No 18, Ahmad Nordin Alias itu adalah tidak sah kerana Ahmad Nordin jelas didapati berkedudukan ofsaid,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Menurutnya, Ahmad Nordin menerima bola daripada rakan sepasukannya yang mana ketika itu, hanya ada seorang pemain pasukan lawan iaitu pemain jersi No 11 LionsXII, Nazrul Nazari yang berada lebih hampir dengan garisan gol pasukan lawan.

“Undang-Undang bola sepak tidak menyebut penjaga gol mestilah menjadi pemain pertahanan terakhir dan ini bermaksud, mana-mana pemain pasukan lawan boleh menjadi pemain terakhir dan pemain kedua terakhir.

“Ini bermakna, keputusan ofsaid yang dibuat pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob yang dibantu penolong pengadil 2, Azman Ismail adalah tepat.

Bantuan daripada Azman itu adalah keputusan yang tepat dan perlu diberi pujian kerana ia adalah satu situasi ofsaid yang sukar untuk dibuat keputusan,” katanya.

Ah Chai berkata, sebagai rujukan, insiden ofsaid itu menyerupai insiden ofsaid yang berlaku pada perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan apabila pengadil membatalkan gol Mexico yang dijaringkan Carlos Vela ketika bertemu pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu, menurutnya, keputusan Amirul Izwan melayangkan dua kad merah kepada pemain Terengganu, Paulo Rangel (minit ke-90) dan Gustavo Lopez (minit ke-90+3) juga dianggap tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 6:51 PM