Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memilih konsep pemilikan pegangan saham secara bersama dalam menguruskan kelab bola sepak Selangor (Selangor FC) yang dikendalikan oleh syarikat Red Giants FC Sdn Bhd.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah pemegang saham utama dengan tiga badan lain iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS turut memiliki saham dalam pasukan Selangor FC.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, melalui proses penswastaan ini, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FAS dan Selangor FC.

"FAS akan memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil di peringkat negeri, selain membangunkan liga dan kejohanan bola sepak di peringkat negeri.

"Termasuklah bola sepak peringkat sekolah, bola sepak wanita, serta pembangunan kelab-kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Selangor.

"Aspek pemerkasaan skuad utama Selangor, Selangor II, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan wanita Selangor pula bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah pengendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd," katanya.

Bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukanlah sesuatu yang muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat ini termasuk pelabur dari luar negara.

"Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan mengurangkan kebergantungan sukan bola sepak kepada kerajaan negeri," katanya.

Berkenaan logo dan nama pasukan, FAS memutuskan untuk kekalkan logo keramat Selangor yang asal berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor di bahagian atas.

Namun kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan perkataan kelab.

"Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada untuk Selangor FC diambil kerana logo ini cukup bermakna dan simbolik, selain sudah lama sebati dengan Gergasi Merah.

"Ia juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja. Namun demikian, ini tidak bermaksud Selangor FC tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap identiti pasukan.

"Sebarang proses perubahan identiti pasukan mungkin akan berlaku di masa hadapan, sekitar dua atau tiga tahun yang akan datang".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:06 PM