AKSI kontroversi Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2017 antara JDT dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. -Foto fail
AKSI kontroversi Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2017 antara JDT dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. -Foto fail
Firdaus Hashim

“KAMI tuntut FAM (Persatuan Bola sepak Malaysia) dan FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bola sepak Malaysia) turunkan pengadil yang adil dan tak tunduk pada mana-mana pihak.”

Itu gesaan 21 kelab penyokong bola sepak Kedah yang bernaung di bawah Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), apabila mendesak FAM dan FMLLP supaya memilih pengadil yang tepat dalam aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Kedah akan membuat perhitungan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut piala berprestij itu dalam aksi final di Stadium Shah Alam.

Pengerusi LMFA, Wan Syazwan Wan Fadzelah berkata, pengadil perlu mengelak daripada melakukan sebarang keputusan kontroversi terutama apabila membabitkan perlawanan besar.

Terkini, keputusan aksi separuh akhir kedua JDT dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos tercemar apabila pengadil tidak mengiktiraf gol penyamaan Zaquan Adha Abd Radzak, yang didakwa berada pada kedudukan ofsaid.

“Seperti aksi separuh akhir itu, gol Zaquan dikatakan ofsaid, sedangkan apabila melihat rakaman semula, jelas sekali Zaquan tidak salah dan tidak ofsaid.

“Malah, bekas pengadil FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh sendiri mengesahkan gol itu sah dan sepatutnya dikira.

“Kalau ikutkan, 90 peratus kebimbangan itu memang ada di jiwa penyokong Kedah yang khuatir keputusan pengadil akan memihak kepada pasukan lawan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keputusan kontroversi di Larkin itu menyaksikan hantaran lintang Gilmar ditampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan JDT, S Kunanlan untuk gol penyamaan pasukan Perak.

Namun, jaringan itu dibatalkan pengadil, Mohd Zohri Tajuddin selepas pembantu pengadil kedua, Nojey Naking menyatakan Zaquan berada dalam kedudukan ofsaid dan menyentuh hantaran itu untuk menjaringkan gol Perak.

Jika jaringan itu disahkan, kedudukan akan berubah menjadi 1-1, dan pastinya permainan bertambah rancak selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat, dan masing-masing memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.

“Ini aksi final dan ia akan memberi tekanan yang kuat kepada pemain dan penyokong. Jika mutu pengadilan tidak memuaskan, sudah pasti akan mengundang suasana tidak baik dalam pertemuan itu.

“Mungkin FAM boleh ambil pengadil luar negara, sama ada dari Asia Timur atau Eropah.

“Kita mahu satu mutu pengadilan yang adil dan rasional bagi memuaskan hati hampir 80,000 penyokong di stadium dan jutaan rakyat Malaysia yang menyaksikannya siaran langsung” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 10:08 PM