CAKIR pernah mengadili perlawanan antara Bayern dan PSG. FOTO/AFP
CAKIR pernah mengadili perlawanan antara Bayern dan PSG. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes menggesa pengadil Turki, Cuneyt Cakir supaya ‘adil dan saksama’ ketika berdepan tekanan Real Madrid dan peminat kelab itu di Bernabeu bagi aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Juara Jerman itu tewas 1-2 pada aksi pertama di laman sendiri, minggu lalu sekali pun mendahului perlawanan dan melepaskan deretan peluang terhidang untuk menghadiahkan pelawat kelebihan.

Gergasi Jerman itu begitupun boleh mencontohi juara Itali, Juventus yang mengatasi defisit kekalahan 0-3 pada aksi pertama suku akhir sebelum bangkit bagi aksi timbal balik di Madrid tetapi dikecewakan oleh penalti Cristiano Ronaldo.

Pada aksi suku akhir musim lalu ketika bertemu Real di Bernabeu, Bayern merasakan mereka tidak dilayan dengan adil selepas Arturo Vidal secara kontroversi diarah keluar padang dengan tuan rumah menjaringkan dua gol dalam kedudukan ofsaid.

Tetapi, Heynckes berkata dia menjangkakan keputusan yang baik daripada Cakir.

“Dia mengadili perlawanan kami dengan Paris St Germain awal musim ini dan dia melakukannya dengan baik,” kata pengurus dari Jerman itu.

“Apa yang kami jangkakan daripadanya adalah objektif, adil dan saksama. Saya menjangkakan prestasi yang baik daripada pengadil dan menjangkakan keputusannya tidak mengganggu keputusan perlawanan.”

Heynckes yang pernah membimbing Real menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1998 berkata dia akan melakukan perubahan dalam pasukannya berbanding perlawanan pertama ketika Bayern memburu kemenangan pertama daripada tujuh aksi bertemu juara Eropah itu.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, Real sudah biasa mengharungi perlawanan yang penting tetapi kami juga sama. Kami akan menjadi lawan yang amat sukar, kami akan berjuang dan perincian yang kecil menjadi penting.

“Kami perlu mengecilkan kesilapan dan kami mahu mengubah beberapa perkara daripada perlawanan pertama,” katanya yang akan berundur dari Bayern, hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:12 AM