Theresa
Theresa

London: Perdana Menteri Britain, Theresa May semalam mempertahankan keputusan untuk mengadakan pilihan raya awal bulan depan dengan berkata, ia akan mengukuhkan kuasa kerajaannya dalam rundingan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Theresa menolak kritikan mengenai tindakannya yang membawa rakyat negara itu mengundi kali ketiga dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya umum pada Mei 2015 dan pungutan suara mengenai keanggotaannya dalam EU pada Jun 2016.

Bercakap dalam wawancara dengan akhbar The Sun, Perdana Menteri Britain itu berkata: “Brexit (Pengunduran Britain dari EU) bukan mengenai surat yang menyatakan hasrat kita untuk keluar. Ia mengenai persetujuan yang tepat untuk keluar dari Eropah.”

Britain sepatutnya mengadakan pilihan raya umum pada 2020, setahun selepas rundingan keluar dari EU yang ditetapkan selama dua tahun berakhir.

Katanya, jika Britain masih berunding dengan EU dan pada masa sama bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya umum, “Eropah mungkin melihat kita berada dalam kelemahan dan mungkin memaksa kita akur dengan kehendak mereka.”

Parti Konservatif yang diketuai May kini menguasai 330 daripada 650 kerusi di Parlimen.

Ia akan mengundi sama ada menyokong rancangan May untuk mengadakan pilihan raya pada 8 Jun depan.

Jika persetujuan dicapai, Parlimen akan dibubarkan pada 2 Mei, membolehkan kempen diadakan selama enam minggu sebelum pilihan raya diadakan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:25 AM