Yusliza Yakimir Abd Talib


Kebiasaannya, satu atau dua pasang busana tradisional sudah memadai untuk menjadi pilihan menyambut hari raya pertama dan kedua.

Hari seterusnya tidak ramai memilih baju kurung atau tradisional lain atau mungkin tidak mahu membazir, mereka memakai baju sedia ada untuk menghadiri rumah terbuka atau mengunjungi sanak-saudara.

Melihat keadaan itu, pengasas butik LosraVelda, Puteri Emira Mohd Azlan menampilkan keunikan pada rekaan terbaru sempena Aidilfitri dengan mengetengahkan konsep suai padan dalam beberapa koleksi butik itu.

Ini kerana katanya, konsep suai padan lebih menjimatkan dan tidak perlu membeli banyak kerana setiap baju, skirt atau seluar boleh dipadankan dengan pakaian lain.

Konsep ini yang menjadi keistimewaan jenama terbabit yang menyediakan pakaian boleh disuai padan ketika Aidilfitri di samping koleksi baju tradisional seperti kurung moden dan jubah.

“Ramai wanita buntu apabila masuk hari ketiga Aidilfitri. Ada kalanya mereka lebih selesa memakai seluar dan blaus untuk menghadiri rumah terbuka atau menerima kunjungan tetamu di rumah.

“Sebab itu, timbulnya idea mengetengahkan beberapa koleksi yang agak unik untuk Aidilfitri seperti sut blaus dan seluar, sut Punjabi dan seluar denim kapas yang boleh disuai padan dengan kebaya.

“Kebiasaannya menjelang Aidilfitri, hampir semua butik mengetengahkan busana tradisional atau jubah, namun tahun ini kami mahu mencuba sesuatu yang baru, tapi masih mengekalkan ciri minimalis dan elegan untuk tampil menawan meraikan perayaan ini,” katanya.

Menurut ibu muda berusia 24 tahun ini, koleksi Aidilfitri Losravelda didatangkan dalam lima koleksi bercorak dan lima koleksi polos dengan pemilihan warna pastel dan terang.

Katanya, rekaan terbaru sempena Aidilfitri itu juga bukan saja boleh dipakai ke majlis atau kasual malah sesuai dijadikan pakaian ke pejabat.

Selain pakaian wanita, butik itu juga menawarkan pakaian sedondon untuk ibu dan anak selain kurta lelaki bagi memudahkan keluarga memilih pakaian raya di satu tempat.

“Kami mahu memudahkan golongan ibu mencari pakaian untuk anak perempuan mereka di sini. Saiz bagi koleksi kanak-kanak pula dari bayi hingga 12 tahun.

“Setakat ini, kami tidak menyediakan pakaian raya untuk kanak-kanak lelaki, mungkin pada masa akan datang kami mahu jadikan butik ini pusat setempat untuk sekeluarga membeli-belah,” katanya.

Emira berkata, kebanyakan fabrik yang digunakan untuk koleksi Aidilfitri antaranya valentro, como crepe, kapas dan sifon selain fabrik baru iaitu sifon flamingo yang amat sesuai untuk dipakai dalam cuaca seperti negara ini.

Koleksi disediakan pula dijual pada harga berpatutan antara RM89 hingga RM249 sepasang manakala saiz antara XS hingga XXL dengan kebanyakan koleksi mesra menyusu dan wuduk.

Menyingkap mengenai sejarah butik itu, Emira berkata, idea membuka butik Losravelda timbul selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan melalui jubah pertama dikeluarkan jenama itu yang menyediakan 20 warna pilihan.

“Awalnya saya hanya menjual jubah dalam talian bermula Mac 2015. Tetapi, semakin hari semakin tidak cukup tangan menyebabkan saya dan suami, Ajwad Khan Nasir Khan mengambil keputusan membuka butik sendiri tiga bulan selepas itu.

“Alhamdulillah, walaupun baru dua tahun beroperasi, sambutan orang ramai sangat menggalakkan. Dengan harga berpatutan, niat saya dan suami mahu menghasilkan produk berkualiti, cantik dan selesa, tapi pada harga mampu milik,” katanya.

Jenama itu terus mengukir nama apabila turut bekerjasama dengan penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna melalui koleksi skaf Yuna for LosraVelda.

Walaupun bermula tanpa sebarang kemahiran atau pengetahuan dalam bidang rekaan, Emira tetap menghasilkan sendiri koleksi pakaian di butik menggunakan sentuhan magisnya.

Koleksi raya LosraVelda boleh didapati bermula Mei ini dengan mengunjungi butik di 65, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor atau menerusi Facebook dan Instagram Losravelda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 10:56 AM