Unggul dengan identiti rekaan masing-masing, empat pereka terkenal tempatan iaitu Syaiful Baharim, Fiziwoo, Nurita Harith dan Zery Zamry bergandingan melancarkan koleksi Aidilfitri 2015 yang dinamakan Edisi Lebaran.

Berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini, koleksi mampu milik itu boleh dimiliki melalui portal ‘online’ fesyen Asia.

Ia yang menerapkan elemen klasik dan terkini juga boleh dibeli menerusi Zalora yang tidak hanya menawarkan perkhidmatan di seluruh negara, tetapi juga Brunei.

Bercakap mengenai koleksi Fiziwoo yang bertemakan ‘Raya di City’, pemilihan warna-warna terang menjadi simbolik keceriaan kepada penduduk bandar meski pun beraya dalam suasana yang lengang apabila sebahagian besar penghuninya pulang ke kampung.

Kreativiti Fizi dan Khai selaku pemilik jenama itu juga terserlah dengan penggunaan fabrik Neoprene yang biasanya dibuat sebagai jersi pada ‘silhouettes’ tradisional.

Turut ditawarkan ialah koleksi kaftan digabung bersama elemen ‘cape’ di bahagian bahu, sekali gus menonjolkan elemen kemegahan.

Rekaan Nurita pula diilhamkan buat kecantikan wanita Malaysia. Koleksi ‘Flow’ menitikberatkan pergerakan dan sifat seni yang berubah-ubah.

Kekal dengan gaya kemas dan moden, Nurita mempamerkan kepelbagaian dalam dua helaian koleksi terbarunya.

Palet warna yang digunakan mengekalkan ‘signature’ seleksi rona-rona lembut seperti ungu dan kuning air.

Sementara itu, Syaiful Baharim pula mengangkat ‘Tribal Glam’ dalam persalinan baju kurung, kurung moden, kaftan dan kurung Kedah.

Bahagian atas atau cebisan top boleh disuai padan dengan skirt mini, pakai tanpa seluar dan seluar daripada rumpun yang sama.

Satu-satunya koleksi untuk lelaki pada pertunjukan fesyen itu menonjolkan kreativiti pereka fesyen sering tampil dengan gaya unik iaitu Zery Zamry yang berjaya menghasilkan baju Melayu Hipster.

Menggabungkan pakaian tradisional dengan sentuhan moden, kolar Teluk Belanga dan Cekak Musang diberi sentuhan moden dan segar dengan penggunaan motif ‘camouflage’ serta pelbagai corak yang mengujakan.

Rekaan baju Melayu teluk belanga juga tampil lebih berani dengan penggunaan motif batik moden.

Manakala songkok dan sampin selisih depan menggunakannya fabrik kulit digantikan dengan songket menjadi pelengkap gaya fashionista lelaki di hari lebaran.

Turut disediakan dalam persalinan jubah, hipster teras utama fabrik dalam rekaan hipster adalah kapas SB Line, Swiss kapas dan sutera kapas yang memberi keselesaan buat si pemakai.

Semua koleksi ini dijual dengan harga RM350 hingga RM650.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:18 AM