FAISAL akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola. FOTO FAIZ ANUAR
FAISAL akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola. FOTO FAIZ ANUAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berita gembira buat peminat penyerang prolifik negara, Faisal Halim apabila pemain itu dijangka mula turun padang dalam tempoh tiga minggu akan datang berdasarkan kepada perkembangan positif proses pemulihan akibat insiden simbahan asid, awal Mei lalu.

Situasi terbabit disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon memaklumkan bahawa Faisal bagaimanapun tidak akan terus berlatih menggunakan bola.

"Sejak sidang media tempoh hari (13 Jun), luka dia semakin kering dan amat positif.

"Mungkin 2 atau 3 minggu lagi akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola.

"Tahap kecergasannya sekarang di bawah dan rendah, seperti pra musim kerana dua bulan tidak bermain bola langsung, tiada aktiviti fizikal," katanya, ketika ditemui selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat Kompleks 3k, di Seksyen 13, Subang Jaya, pagi ini.

Menurutnya, Selangor FC tidak mahu terlalu memaksa atau terburu-buru mendedahkan Faisal kepada latihan bola sepak bagi membendung perkara tidak diingini daripada berlaku.

"Pada peringkat permulaan, kita tidak mahu tergesa-gesa kerana takut akan menyebabkan kecederaan lain pula.

"Walaupun kita tahu dia seorang yang kuat tetapi kita tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang tidak sepatutnya," katanya.

Sebagai rekod, kehidupan Faisal seperti berubah 180 darjah apabila menjadi mangsa simbahan asid daripada individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Pemain kelahiran Mengkuang Titi itu pada awalnya dilihat agak kritikal selepas disahkan melecur tahap empat tetapi semakin stabil selepas menjalani empat pembedahan.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:28 PM