UTAMAKAN keselesaan berdasar keperluan tampil sopan, bebas bergerak.
UTAMAKAN keselesaan berdasar keperluan tampil sopan, bebas bergerak.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Fabrik memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian Muslimah lebih-lebih lagi jika ingin digayakan di negara yang bercuaca panas seperti Malaysia.

Walaupun ada sesetengah fabrik yang digunakan untuk pakaian Muslimah menjadi ikutan masa kini, tidak semestinya ia sesuai dipakai semua golongan.

Cuba lari dari kebiasaan, Butik Zeyra tampil dengan busana buat wanita yang mementingkan keselesaan dan gaya, namun yang lebih utama ia boleh dipakai untuk hampir semua acara baik ke majlis, santai mahupun kerja.

Membawa konsep kasual, pemiliknya, Nazeera Sardi berkata, rekaannya dibuat berdasarkan keperluan wanita yang mahu tampil sopan, pada masa sama bebas bergerak walaupun dalam cuaca panas.

“Apabila menyebut mengenai fesyen Muslimah, pasti setiap orang menggambarkan jubah dan baju kurung. Hakikatnya, wanita boleh bergaya dengan pelbagai fesyen terkini asalkan penampilan itu tidak keterlaluan.

“Di Zeyra, kita mahu cipta kelainan iaitu berkonsepkan busana kasual. Sama ada berhijab atau tidak, potongan yang direka dipastikan supaya longgar, tidak melekap dan mempunyai ciri khas seperti mesra wuduk dan mesra penyusuan bayi.

“Selain itu, saya mahu semua wanita bertubuh kecil hingga besar dapat menggayakan pakaian ini dengan menawarkan saiz dari S hingga XL,” katanya.

Hampir dua tahun berkecimpung dalam industri fesyen, Nazeera berkata, oleh kerana keselesaan menjadi keutamaannya, kebanyakan pakaian rekaannya menggunakan fabrik como crepe dan memastikan ia benar-benar berkualiti serta sedap dipakai.

Katanya, pemilihan fabrik bukan dibuat semberono sebaliknya dia terlebih dulu menguji kualiti fabrik dan memakainya sendiri sebelum dipasarkan. Selain itu, pemilihan warna lebih fokus kepada warna terang dan memikat untuk memberi kelainan berbanding penggunaan warna pastel.

“Kita seboleh-bolehnya mahu menghasilkan rekaan yang ringkas dan minimalis. Sebelum menghasilkan koleksi ini kita sudah mengenal pasti rekaan mana yang digemari pelanggan selain ambil kira fabrik digunakan.

“Jika pereka fesyen lain lebih menggemari fabrik lembut seperti sifon sebagai asas pakaian untuk gaun misalnya, bagi saya pula kain como crepe dan gabungan fabrik lain juga sesuai dijadikan pakaian untuk pelbagai acara jika penggayaan kena pada caranya.

“Mengambil contoh sesetengah rekaan jubah moden yang menggunakan sifon, semestinya pemakai perlu memakai baju alas untuk menutup bentuk badannya. Bagi saya, untuk negara yang bercuaca panas, pemilihan pakaian yang berlapis seperti ini tidak sesuai.

“Beberapa rekaan seperti blaus Everlyn dan Feanne serta tunik Xandra mempunyai reka bentuk mudah dan keselesaan fabrik yang membuatnya sesuai untuk digayakan semua golongan sama ada pelajar, bekerja mahupun sebagai pakaian harian. Manakala jaket motif batik menggunakan kain kapas boleh digayakan untuk majlis formal atau santai,” katanya.

Blaus Everlyn dan tunik Xandra menggunakan sepenuhnya fabrik como crepe, manakala blaus Feanne menggunakan satin italiano terletak cantik bertekstur lembut dan tidak mudah renyuk menjadikannya mudah dibawa untuk perjalanan jauh kerana tidak perlu digosok.

Zeyra turut menawarkan seluar palazzo floral dan skirt potongan kembang puteri yang boleh disuai padan dengan blaus dan tunik keluaran butik itu selain memperkenalkan koleksi terbaru gaun labuh ombre dwi-ton menggunakan fabrik moss crepe.

Beroperasi sepenuhnya secara dalam talian, butik Zeyra menawarkan kolek­si mereka dengan harga berpatutan dan boleh didapati menerusi Instagram zeyra.my dan facebook Zeyra.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 10:06 AM