BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
BAJU tradisional Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Meskipun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pembaharuan dan transformasi, sukar menidakkan bahawa baju tradisional Melayu seperti baju kurung, baju kedah atau kebaya tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah dengan suntikan elemen moden menjadikan pakaian tradisi ini sentiasa menjadi pilihan wanita untuk digayakan.

Menyedari hakikat itu, Butik My Busana menyediakan pelbagai busana tradisional yang bukan saja klasik, cantik dan anggun, tetapi sopan dan manis apabila digayakan.

My Busana menyediakan pelbagai pilihan busana Melayu lama. Keindahan serta keunikan pemakaian Melayu dapat dilihat dengan fesyennya yang pelbagai.

Baju kurung pesak, Teluk Belanga, cekak musang, kurung Kedah dan kurung Riau memang membuatkan wanita bertambah manis. Jemu berbaju kurung, bolehlah beralih kepada kebaya sama ada kebaya Pahang, Kota Bharu atau Nyonya. Semuanya membuktikan kekayaan dunia busana tradisional Melayu yang terus popular dan terpelihara hingga hari ini.

Melengkapkan penampilan busana Melayu ialah seleksi dokoh, kancing dan kerongsang. My Busana juga menyediakan jubah dan abaya untuk mereka yang mendambakan fesyen dari Timur Tengah, namun fokus butik ini tetap kepada busana Melayu lama.

Diilhamkan oleh Syarifah Idrus Sofia, My Busana bermula daripada cetusan jiwanya yang mengagumi kehebatan dunia pemakaian orang Melayu.

“Ibu menjadi contoh kerana memiliki koleksi pelbagai jenis busana Melayu. Apabila saya lahirkan hasrat untuk mencuba sesuatu yang baru, ibu mencadangkan membuka butik dalam talian berasaskan konsep jubah dan abaya, tetapi saya berfikir mengapa tidak lari sedikit dari biasa dengan memfokuskan kepada dunia busana ibunda kita.

“Idola busana Melayu yang menjadi kekaguman saya ialah Tan Sri Zeti Aziz. Beliau dan busana kurung pesak Teluk Belanga tidak pernah berenggang. Walau berpangkat tinggi tidak pernah beliau memandang rendah kepada busana ibundanya. Dari situ saya berazam menjadi salah seorang yang memperjuangkan busana tradisional Melayu,” katanya.

My Busana menampilkan seleksi pakaian fesyen ibunda dengan pilihan dan penggunaan fabrik yang sesuai dengan konsep busana itu.

Katanya, kain yang digunakan bukanlah ditempah khas, tetapi berdasarkan apa yang ditawarkan di pasaran. Dia menyesuaikan fabrik yang ada sama ada untuk baju kurung pesak, kurung riau atau kebaya labuh.

Ini kerana setiap jenis busana itu ada kain yang sesuai dan ada yang tidak. Contohnya untuk busana kebaya labuh atau kurung kedah, kainnya mesti lembut seperti sutera, sifon atau georget. Fabrik yang teksturnya agak keras termasuklah kain kapas kurang sesuai untuk dijadikan kebaya labuh atau kurung Kedah.

“Saya dapati antara faktor yang menyebabkan rekaan tradisional ini masih bertahan hingga kini kerana ia menyerlahkan keanggunan pemakainya.

“Busana Melayu bukan saja indah dipandang, tetapi selesa dipakai ke mana saja. Busana Melayu juga tidak canggung digayakan ke pejabat atau majlis tertentu,” katanya.

Sharifah mengakui ketika ini dia gembira melihat perkembangan dunia fesyen tempatan yang meriah dengan kemunculan busana yang cantik, sopan dan manis dipandang seperti jubah dan abaya.

Usahawan jubah dan abaya muncul bagai cendawan selepas hujan, namun usahawan busana yang berkonsepkan busana asli boleh dikira dengan jari.

Katanya, jika usahawan lain memilih konsep jubah dan abaya, dia lebih selesa memilih mengetengahkan busana Melayu.

My Busana masih berpandukan rekaan asal nenek moyang dan cuba menghidupkan kembali busana itu dengan menyuai padan pelbagai jenis kain dengan rekaan, motif dan imej terkini seperti bersumberkan flora dan fauna, alam semula jadi, geometri, canting, abstrak dan artistik.

Menurutnya, dia bertuah kerana kemeriahan dan kerancakan dunia fabrik memberi ilham dan peluang kepadanya untuk bereksperimen.

“Terus terang saya katakan sudah ramai anak muda yang tidak mengenali lagi wajah dan bentuk busana itu termasuklah saya sendiri. Jika tidak kerana koleksi ibu saya juga akan jahil dalam perkara ini.

“Saya harus akui generasi muda zaman saya sudah kurang memberi perhatian kepada busana lama kita. Pakaian harian kami berseluar dan baju-T. Sudah jarang berkain batik di rumah, inikan pula mahu mengenakan batik sarung untuk bersiar-siar.

“Justeru, My Busana mendorong saya untuk mendalami dunia fabrik busana Melayu. Ia adalah khazanah warisan dunia fabrik yang tidak ternilai harganya. Menyerlahkan keindahan sentuhan tukang busana Melayu dulu kala sedangkan pereka asal busana Melayu ini tidak pernah menerima pendidikan fesyen secara formal,” katanya.

My Busana menggunakan fabrik bermutu tinggi terdiri daripada sifon, kapas Inggeris, kapas Jepun, linen, satin, aertex, jacquard, sutera Itali, organza dan denim.

Lebih menarik, busana dari butik ini amat eksklusif kerana dipotong dan dijahit oleh tukang jahit

persendirian yang cerewet, cermat dan ‘menjahit dari hati’. Untuk satu busana, hanya satu helai yang dikeluarkan menjadikan eksklusif.

“Saya tidak mahu busana Melayu hanya dikenali sebagai pakaian hari raya saja. Ia sesuai digayakan ke pejabat dan tentu sekali ke majlis rasmi serta kenduri.

“Kurung Kedah atau ­kurung Riau pula tidak ­canggung dijadikan pakaian ke pejabat. Lebih cantik lagi jika digayakan dengan padanan aksesori yang sesuai seperti kerongsang, kancing, sulaman dan selendang.

“Dunia pemakaian busana tradisional ini sudah berkembang pesat selari dengan zaman. Kemunculan fabrik berkualiti tinggi selain batik seperti sifon, sutera,

organza, renda, linen dan pelbagai lagi menyumbang kepada olahan busana Melayu yang semakin menarik,” katanya.

Mengenai rancangan masa depannya, beliau berkata, fasa pertama My Busana ialah secara dalam talian dan ketika ini Syarifah berusaha mengukuhkan jenama berkenaan sebelum membuka butik fizikal.

Katanya, setakat ini fokusnya adalah pada pakaian tradisional sebelum tampil dengan koleksi baru ­iaitu Muslimah Rugged dalam masa terdekat. Pelbagai ­pilihan busana ini boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web www.mybusana.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:08 AM