Sudirman Mohd Tahir


RUHAINIES berbesar hati apabila ditawarkan berlakon dalam filem Seandainya Kau Ada yang juga filem kedua lakonannya.

Ruhainies berkata, dia mempersiapkan diri dari aspek lakonan sebelum dan sepanjang proses penggambaran kerana ia banyak bermain emosi.

“Watak saya dalam filem ini agak berat. Saya kena bermain dengan banyak emosi yang jauh berbeza daripada kebanyakan drama saya sebelum ini.

“Apabila orang beri kepercayaan, saya perlu hargai dan balas dengan sesuatu yang bermanfaat bukan saja untuk diri sendiri, tapi buat keseluruhan produksi.

PERSIAP diri dari aspek lakonan sebelum dan sepanjang penggambaran.
PERSIAP diri dari aspek lakonan sebelum dan sepanjang penggambaran.

“Apatah lagi ini filem kedua saya, jadi saya kena buat yang terbaik. Saya perlu buktikan pada orang, saya bukan setakat pelakon biasa yang hanya melontarkan dialog,” katanya.

Filem yang turut membariskan pelakon, Raysha Rizrose dan Fendy Bakry itu dijangka menemui penonton penghujung tahun ini.

Selain dalam negara, filem terbitan Zeel Production itu turut menjalani penggambaran di Makkah dan Uzbekistan.

“Insya-Allah, dalam tempoh dua minggu lagi kami akan bertolak ke Makkah. Kami juga akan menunaikan umrah. Ia bakal memberikan cabaran buat semua sebab kena buat dua perkara. Apa pun, semoga ia dipermudahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Ruhainies juga terbabit dalam penggambaran drama, Maaf Tak Indah bersama Azlee Khairi bagi tayangan slot Samarinda di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:01 AM