Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Saharul Ridzwan mengambil keputusan memulangkan baki bayaran yang diterimanya kepada penerbit drama Seindah Takdir Cinta, semalam disebabkan tidak dapat memberi komitmen membabitkan penggambaran di Makkah.

Saharul, 27, berkata, tindakannya itu bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya lebih kepada tanggungjawab.

"Sepatutnya penggambaran di sana dijadualkan pada hujung bulan lalu. Namun disebabkan terdapat masalah visa, ia ditunda ke bulan ini.

"Dalam masa sama, saya sudah memulakan penggambaran drama lain. Penerbit drama itu pula mengejar tarikh tayangan menyebabkan saya tidak boleh memberi komitmen kepada drama Seindah Takdir Cinta," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Saharul, penerbit drama itu, Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel dari Zeel Production menerima keputusannya tanpa sebarang paksaan.

€œApabila saya memberi penjelasan, dia memahami situasi saya. Sebab itu saya meminta nombor akaun bank dan memulangkan semula baki bayaran membabitkan babak di Makkah itu.

"Adalah tidak adil sekiranya saya mengambil wang itu tanpa melakukan sebarang kerja. Saya berterima kasih kepada Haji Zeel kerana sentiasa memberi saya peluang bekerjasama dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Fadzil ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan tujuan Saharul memulangkan bayaran berkenaan bukan disebabkan isu lain.

"Janganlah salah faham apabila Saharul memulangkan wang bayaran itu. Tidak ada isu bergaduh atau salah faham, sebaliknya dia tidak dapat memberi komitmen membabitkan babak penggambaran di Makkah.

€œDia memulangkan wang itu semalam selepas saya membuat baki bayaran daripada pembabitannya menerusi drama ini. Berapa jumlah yang dipulangkan biarlah kami saja yang tahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 7:38 PM