PENYOKONG Park memprotes pendakwaan terhadap presiden itu di depan Mahkamah Perlembagaan di Seoul. - EPA
PENYOKONG Park memprotes pendakwaan terhadap presiden itu di depan Mahkamah Perlembagaan di Seoul. - EPA
Agensi

Seoul: Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye menyuarakan kesalnya terhadap skandal yang berlaku sehingga mencetuskan pendakwaan terhadapnya, dalam pada Mahkamah Perlembagaan membicarakan tuduhan berkenaan.

Dalam kenyataan dibacakan peguamnya semalam, Park yang tidak pernah menghadiri prosiding berkenaan menegaskan satu-satu kesilapannya adalah terlalu mempercayai sahabatnya Choi Soon-Sil yang banyak membantunya dalam urusan seharian sejak bertahun-tahun lalu, termasuk pilihan pakaiannya.

“Jika difikirkan semula saya memang melakukan kesilapan dan sepatutnya lebih berhati-hati meletakkan kepercayaan terhadapnya.

“Malangnya sekarang semua dasar dan tindakan dilaksanakan saya hanya dipandang negatif,” katanya dalam pembelaan terakhir kepada panel lapan hakim.

Park tidak mengendahkan permintaan mahkamah supaya hadir untuk soal balas, selain enggan menemui pendakwa yang menyiasat kes itu untuk menjawab soalan mereka.

Park yang dilantik pada 2012 didakwa di Parlimen pada Disember lalu kerana skandal berkenaan dan perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan bakal berakhir selepas keputusan dibuat, dipercayai pada Mac depan.

Sementara itu, semalam parti pembangkang utama Korea Selatan mengancam turut mendakwa Perdana Menteri Hwang Kyo-ahn yang mengambil alih tugasan Park selepas dia enggan melanjutkan siasatan khas berhubung skandal rasuah yang menumbangkan pemerintahan presiden berkenaan.

Jika berjaya, pendakwaan terhadap Hwang akan menggusarkan lagi keadaan politik yang sememangnya sudah huru-hara di Korea Selatan, selain menggugat seorang lagi pemimpinnya dalam pada Mahkamah Perlembagaan semakin hampir memutuskan nasib Park.

Semalam, Hwang menolak permintaan pasukan penyiasat untuk melanjutkan siasatan selepas tarikh akhir pada hari ini. Jurucakap Hwang berkata, ini berikutan pasukan diketuai peguam bebas Park Young-soo itu sudah mendakwa orang utama yang dikaitkan dengan skandal itu.

“Tindakan berkenaan menunjukkan Hwang cuba menjadi perisai Park untuk melindunginya dan rakannya,” kata ketua pembangkang Parti Demokrat, Choo Mi-ae.

Pendakwaan terhadap seorang perdana menteri memerlukan sokongan separuh daripada 299 ahli Parlimen. Ketiga-tiga parti itu mempunyai 166 kerusi keseluruhannya, bermaksud mereka dengan mudah boleh melucutkan kuasa Hwang.

Tetapi pengkritik berkata, parti pembangkang juga perlu mengambil kira kemungkinan tindak balas kuat daripada kumpulan konservatif jika mereka membuat satu lagi usaha pendakwaan berprofil tinggi.

Jurucakap pasukan penyiasat, Lee Kyu-chul, menyifatkan keputusan Hwang untuk menolak lanjutan penyiasatan sebagai mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:23 AM