KUALA LUMPUR: Jenazah Tan Wei, pelajar Malaysia yang terbunuh dalam insiden rempuhan Tahun Baru di Dataran Chen Yi, Shanghai, China Rabu lalu akan dibawa pulang ke Malaysia esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata satu upacara sembahyang dan penghormatan terakhir telah diadakan hari ini di Krematorium Shanghai.

“Ibu bapa mendiang Tan Wei akan mengiringi jenazah pulang ke Malaysia esok dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada waktu petang,” kata kenyataan itu.

Pada sambutan tahun baharu di Shanghai, Tan Wei, pelajar sebuah universiti di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, China, terbunuh akibat rempuhan manakala seorang lagi cedera dalam rempuhan yang mengorbankan 36 orang.

Dalam pada itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam rempuhan itu, Ooi Hooi Yi masih menerima rawatan di Hospityal Changzheng dan dilaporkan bertambah baik dan tiada sebarang pendarahan dalaman dilaporkan.

Sehubungan itu, Wisma Putra merakamkan ucapan takziah dan akan terus memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada anggota keluarga mendiang Tan Wei. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 9:18 PM