ZULFADHLI (tengah) akan menggunakan kesempatan siri pertama Kejohanan Memanah Dunia minggu depan.
ZULFADHLI (tengah) akan menggunakan kesempatan siri pertama Kejohanan Memanah Dunia minggu depan.

Kuala Lumpur: Pemenang perak Sukan SEA 2015, Zulfadhli Ruslan mahu menggunakan siri pertama Kejohanan Memanah Dunia bermula minggu depan sebagai medan untuk mengintip prestasi semasa lawan menjelang Sukan SEA.

Jelas pemanah berusia 25 tahun itu, kebanyakan pemanah dari Asia Tenggara akan menyertai kejohanan di Shanghai, China yang turut menghimpunkan pemanah handalan dunia.

“Saya melihat ini peluang terbaik untuk melihat secara dekat pencabar di Sukan SEA. Saya mendapat maklumat sebahagian besar pemanah Asia Tenggara akan beraksi di Shanghai.

“Ia akan memberikan gambaran sebenar kepada saya supaya lebih bersedia. Ia membolehkan saya menilai kekuatan dan kelemahan supaya dapat dimanfaatkan untuk menewaskan mereka Ogos ini,” jelas pemanah compound negara itu.

Zulfadhli terpaksa akur dengan perak pada edisi 2015 apabila tewas kepada pencabar dari Vietnam, Nguyen Tien Cuong manakala rakan sepasukan Juwaidi Mazuki meraih gangsa.

“Bagi kejohanan di Shanghai, saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tumpuan utama adalah untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan SEA.

“Cuma saya akan memberikan yang terbaik dengan misi mara sejauh mungkin terutamanya dalam usaha membaiki kedudukan ranking dunia yang berada pada kedudukan ke-55 ketika ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:38 AM