PENDUDUK lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) membawa anjingnya keluar berjalan-jalan di Shanghai, China. FOTO REUTERS
PENDUDUK lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) membawa anjingnya keluar berjalan-jalan di Shanghai, China. FOTO REUTERS
AFP

Shanghai: China melaporkan 13,000 kes baharu Covid-19 pada Ahad, tertinggi sejak kemuncak gelombang pandemik itu dua tahun lalu.

Pegawai kesihatan berkata mereka menemui subjenis baharu varian Omicron yang disyaki di kawasan Shanghai.

Strategi "sifar-Covid" China berada di bawah tekanan apabila virus itu merebak ke seluruh negara.

Sehingga Mac, China telah berjaya mengurangkan beban kes harian kepada dua atau tiga digit, dengan sekatan ketat kawasan tertumpu, ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan.

Tetapi kes meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini kepada beribu-ribu setiap hari, terutamanya di pusat wabak Shanghai, di mana jalan-jalannya kelihatan kosong pada hari Ahad berikutan 25 juta penduduknya menjalani perintah berkurung.

Pegawai di Suzhou, sebuah bandar 30 minit ke barat Shanghai, telah mengesan mutasi varian Omicron yang tidak ditemui dalam pangkalan data tempatan atau antarabangsa, lapor media kerajaan pada Ahad.

"Ini bermakna varian baharu Omicron telah ditemui di dalam negara," kata Xinhua, memetik Timbalan Pengarah Pusah Kawalan dan Penyakit Suzhou, Zhang Jun.

Wabak semasa ini juga menguji kesabaran apabila mereka berhadapan dengan sekatan yang ketat, sedangkan ketika ini sebahagian besar dunia sudah dibuka semula.

Pada hari Ahad, 1.5 juta penduduk Baicheng di timur laut China menyertai barisan berpuluh juta rakyat lain yang mengalami pelbagai sekatan yang mengganggu kerja serta merosakkan ekonomi.

China merekodkan 13,146 kes pada hari Ahad, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam satu kenyataan, dengan tiada kematian baharu dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 3:23 PM