Muhammad Syahir menunjukkan keputusannya kepada ibu bapanya. FOTO Aizat Sharif
Muhammad Syahir menunjukkan keputusannya kepada ibu bapanya. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Jitra: Seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Halim, di sini membuktikan bahawa kecacatan serta kemiskinan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan cemerlang apabila memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Muhammad Syahir Umar, 18 dari Kampung Perik, Kuala Nerang yang dilahirkan dengan cuping telinga kanan yang kecil sehingga menyebabkan dia pekak sebelah telinga turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang sekolah itu.

“Memang saya menghadapi kesukaran untuk mendengar menggunakan telinga di sebelah kanan menyebabkan saya lebih bergantung sepenuhnya kepada telinga kiri tetapi saya tidak melihat itu sebagai masalah kerana bagi saya tiada alasan untuk berjaya.

“Malah, dengan kejayaan ini juga saya berasa puas apabila segala yang saya rancangkan sejak di Tingkatan Satu akhirnya membuahkan hasil dengan sokongan daripada ibu bapa serta guru saya di sekolah ini,” katanya.

Beliau ditemui Harian Metro selepas Majlis Penyampaian Keputusan SPM 2016 peringkat negeri di SMK Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Muhammad Syahir berkata, dia tidak mempunyai resepi rahsia untuk berjaya sebaliknya hanya terus menumpukan cara pembelajaran seperti biasa dengan sering membuat latihan setiap kali mengulangkaji sesuatu pelajaran itu.

“Disebabkan saya tinggal di asrama, corak pembelajaran saya juga sama seperti rakan lain dengan siangnya saya akan melakukan belajar berkumpulan manakala waktu malamnya pula saya lebih gemar belajar bersendirian.

“Walaupun saya belajar dengan serba kekurangan dan hanya menggunakan wang zakat dan bantuan biasiswa lantaran kemiskinan yang saya alami, saya amat bersyukur dengan Allah SWT dengan kejayaan yang diberikan ini,” katanya.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik yang berusia antara dua hingga 16 tahun, dia diletakkan sebagai penanda aras kejayaan oleh keluarganya bagi membakar semangat adik-adiknya yang lain.

Dalam majlis itu juga, SMK Sultan Abdul Halim diisytiharkan sebagai sekolah terbaik daripada 12 buah sekolah di Kedah yang berjaya mendapat Gred Purata Sekolah GPS) di bawah daripada tiga mata dengan memperoleh GPS sebanyak 2.04 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 3:41 PM