Asrol Awang


Kuantan: Calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Aziq Asri membuktikan kecemerlangan apabila memperoleh 8A 1B dalam peperiksaan itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini yang juga autisme membanggakan ibu bapa, Asri Mohd Din, 54, dan Marlia Thaalmudin, 48.

Muhammad Aziq berkata, dia gembira kerana pada percubaan SPM, dia hanya memperoleh 6A 2B 1C.

"Dengan sokongan cikgu dan rakan di sekolah, ia banyak membantu. Sebenarnya saya hanya fokus di dalam kelas dan jika tidak faham, saya akan bertanyakan kepada cikgu.

"Kelas tuisyen juga hanya di sekolah dan lebih banyak membuat latihan di rumah bermula petang hingga malam," kata anak bongsu daripada dua beradik itu ketika ditemui di SMK Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Muhammad Aziq antara tiga calon CBPK SPM yang cemerlang selain Harith Zakwan Hazlan dari SMK Mengkarak, Bera yang memperoleh 8A dan Muhammad Mukhriz Mustafa dari SMK Karak Setia, Bentong (8A).

Dia yang akan menyambung pelajar ke tingkatan enam bercita-cita untuk menjadi ahli sejarah.

"Sebenarnya saya amat meminati sejarah berkaitan peperangan seperti Perang Dunia Kedua," katanya.

Sementara itu, Marlia tidak menjangkakan anak lelakinya itu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

"Saya tidak sangka kerana pada usia lima tahun, Aziq disahkan autisme kerana ketika itu kami dapati dia tidak boleh bercakap.

"Namun, saya bersyukur kerana Aziq mampu belajar dan memperoleh keputusan baik dalam pelajaran bersama rakannya di sekolah rendah dan menengah.

"Sebab itu saya tidak hantar ke sekolah pendidikan khas kerana dia boleh mengikut pembelajaran di sekolah harian," katanya.

MUHAMMAD Aziq menunjukkan slip keputusan SPM kepada ibu dan bapanya. FOTO Farizul Hafiz Awang
MUHAMMAD Aziq menunjukkan slip keputusan SPM kepada ibu dan bapanya. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 3:07 PM