Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Impian dua sahabat karib untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akhirnya tercapai apabila mereka masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.

Muhammad Haziq Zikri Ghazali, 20, dan Muhamad Hazwan Hanif Kamaruzib, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, masing-masing pernah mengalami kekecewaan kerana tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) susulan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, dua sahabat itu bangkit dengan berusaha mendapatkan keputusan yang lebih baik untuk STPM dan mereka mengakui tidak menyangka dengan keputusan yang diterima hari ini.

Muhammad Haziq berkata, selain memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas, dia juga sering belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan termasuk sahabat baiknya, Muhamad Hazwan.

"Kami mempunyai kelebihan pada subjek yang berbeza, jadi bagi mata pelajaran yang dikuasai Muhammad Hazwan, dia yang akan terangkan kepada saya dan begitulah sebaliknya.

"Sebenarnya, kami berdua bukanlah pelajar sasaran tetapi masing-masing nekad untuk membuktikan bahawa kami juga mampu mencapai kecemerlangan.

"Alhamdulillah, akhirnya hari ini, impian kami menjadi nyata.

"Insya-Allah, jika diberi peluang kami juga mahu melanjutkan pelajaran dalam jurusan pendidikan di universiti yang sama dan kami berdua sudah pun menghadiri temu duga di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya.

Bagi Muhamad Hazwan, keputusan yang diterima pada hari ini, lebih bermakna apabila memperoleh kecemerlangan bersama rakan baik sendiri, sekali gus memberi suatu kepuasan selepas mereka bertungkus lumus belajar bersungguh-sungguh selama ini.

"Saya berharap agar keputusan ini boleh membantu saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan dan seterusnya menjadi seorang guru.

"Melihat ibu, Senah Daud, 45, menitiskan air mata kegembiraan benar-benar memberi erti buat saya sebagai anak sulong daripada tiga adik beradik. Saya berjanji untuk meneruskan kecemerlangan ini pada masa akan datang.

"Selain itu, kami akan pastikam persahabatan ini terjalin selama-lamanya walaupun ditakdirkan kami terpaksa sambung pengajian di institusi berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 2:17 PM
Dua sahabat baik, Muhammad Haziq Zikri Ghazali, 20, (kanan) dan Muhamad Hazwan Hanif Kamaruzib, 20, (kiri) menunjukkan keputusan STPM yang diperoleh mereka ketika ditemui di dewan terbuka SMK Tengku Panglima Raja, di sini hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Dua sahabat baik, Muhammad Haziq Zikri Ghazali, 20, (kanan) dan Muhamad Hazwan Hanif Kamaruzib, 20, (kiri) menunjukkan keputusan STPM yang diperoleh mereka ketika ditemui di dewan terbuka SMK Tengku Panglima Raja, di sini hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA