Muhammad Zulfahmi (kanan) dan Mohd Amin maut selepas van Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit dihempap pokok di Jalan Mengabang Lekar di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Muhammad Zulfahmi (kanan) dan Mohd Amin maut selepas van Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit dihempap pokok di Jalan Mengabang Lekar di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Helmy Abd Rahman

MUHAMMAD Zulfahmi Abd Halim, pelajar tingkatan lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit yang maut selepas van dinaikinya dihempap dahan pokok di Jalan Batu Rakit, Kuala Nerus, hari ini, adalah antara pelajar harapan Terengganu untuk memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, ketika kejadian, arwah dan rakannya Muhammad Zul Afkar Fauzi, 17, yang kritikal akibat insiden itu, dalam perjalanan menuju ke Hotel Permai, Kuala Terengganu untuk menghadiri Kem Elit SPM anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dengan menaiki van dipandu Mohd Amin Ibrahim, 36, yang juga maut dalam kemalangan berkenaan.

"Jabatan Pendidikan negeri amat sedih kerana dua pelajar ini adalah calon harapan untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tidak lama lagi.

"Malah ketika kejadian, mereka sedang dalam perjalanan untuk menyertai Kem Elit SPM sebagai persediaan akhir kepada pelajar terbaik di Terengganu bagi menghadapi SPM," katanya yang ditemui selepas melawat keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua dilaporkan maut dan tiga parah selepas dua kenderaan dinaiki mangsa dihempap dahan pokok di Jalan Batu Rakit, Kuala Nerus, hari ini.

Insiden itu berlaku kira-kira 1 tengah hari tadi apabila dahan pokok besar itu tiba-tiba terjatuh ketika kedua-dua kenderaan iaitu van dinaiki tiga lelaki dan Perodua Kancil dinaiki dua wanita melalui kawasan berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk dan mengorbankan pemandu van serta penumpang hadapan di tempat kejadian, manakala penumpang belakang parah di kepala.

Dua wanita yang menaiki Perodua Kancil terbabit juga dilaporkan parah dan semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Zulfahmi, Abd Halim Rani, 50, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya yang memberitahu anak kedua daripada sembilan beradik itu kritikal selepas terbabit kemalangan.

"Isteri hanya beritahu Zulfahmi kritikal dan saya bergegas ke Unit Kecemasan HSNZ untuk memeriksa keadaannya.

"Sebaik tiba di hospital, barulah saya mendapat maklumat bahawa anak saya sudah tiada manakala rakannya yang turut berada dalam van berkenaan parah," katanya yang juga pegawai MARA Daerah Hulu Terengganu.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Zulfahmi seorang yang ceria dan harapan keluarga kerana sering menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan.

"Malah dia dapat 8A dalam ujian percubaan SPM lalu dan dijangka tiada masalah mencatat kecemerlangan serupa dalam peperiksaan sebenar nanti," katanya.

Menurut Abd Halim, kali terakhir dia bertemu anak kesayangannya itu pada Khamis lalu ketika sama-sama menyertai solat hajat di sekolah.

"Bagaimanapun arwah tidak pula menunjukkan sebarang perubahan dan ceria seperti biasa. Mungkin sudah tiba ajalnya dan kami reda," katanya.

Berita berkaitan:

2 maut, 3 parah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:11 PM