Bagi peminat bola keranjang, sebelum era Kobe Bryant, LeBron James, mahupun Michael Jordan dan Shaquille O’Neal, Kareem Abdul Jabbar dianggap legenda dalam sukan popular di Amerika Syarikat (AS) itu.

Meskipun tidak lagi lincah beraksi di gelanggang, bekas bintang LA Lakers itu kekal memahat namanya sebagai sebagai jagoan disegani, malah kebanyakan rekodnya masih belum dipecahkan hingga kini.

Beraksi sebagai pemain profesional dari 1969 hingga 1989, sebaik persaraannya, Kareem muncul penjaring terbanyak NBA sepanjang zaman iaitu 38,387 mata.

Bukan itu saja, Kareem yang beraksi di posisi ‘center’ muncul pemain NBA pertama bermain selama 20 musim selain melakukan 17,440 rebound, 3, 189 hadangan dalam 1,560 perlawanan disertainya selain memenangi banyak anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP).

Namun satu legasi penting ditinggalkan Kareem adalah teknik jaringan ‘skyhook’ yang banyak membantunya untuk menjadi penjaring digeruni di gelanggang bola keranjang.

Dilahirkan dengan nama Lew Alcindor, Kareem memeluk Islam pada 1971, sebaik pasukan profesional pertamanya Milwaukee Bucks menjuarai NBA pada tahun itu.

Mula mengenali Islam sejak perkenalannya dengan Hammas Abdul Khaalis, bekas pemain dram jazz, dia banyak belajar daripada Hammas dan daripada situlah dia mengambil nama Kareem Abdul-Jabbar yang kekal hingga kini.

Tidak cukup dengan itu, Kareem mempelajari Al-Quran serta asas bahasa Arab. Pada 1973, dia berkunjung ke Libya dan Arab Saudi untuk lebih memahami bahasa Arab dan ajaran Islam.

Begitupun dia enggan menghebohkannya dan lebih senang menjalani kehidupan sebagai seorang saudara baru yang gah beraksi di NBA.

“Anda tahu bagaimana permulaan hidup saya, saya masih anak kepada ibu bapa saya, sepupu saya masih sama, saya masih orang yang sama tetapi saya membuat pilihan,” katanya dalam satu wawancara.

“Saya tidak rasa apa-apa yang berbeza, ia ada kena-mengena dengan evolusi. Saya berevolusi kepada Kareem Abdul-Jabbar, saya tidak kesal siapa diri saya dahulu tetapi inilah diri saya sekarang.

“Sebagai sebuah perjalanan spiritual, saya tidak fikir mampu berjaya sebagai atlet jika tidak kerana Islam. Ia memberi saya asas moral yang teguh, tidak membuat saya menjadi materialistik, membolehkan saya melihat apa yang penting dalam dunia.

“Semua itu ditekankan oleh orang yang penting kepada saya iaitu jurulatih John Wooden, ibu bapa saya yang menerapkan nilai-nilai itu. Ia membolehkan saya hidup dengan cara tersendiri dan tidak mudah digugat.”

Begitupun, dia tidak menafikan kebimbangan Barat terhadap Islam (Islamofobia) semakin meningkat dan ia hanya boleh ditangani dengan pendidikan.

Apa yang berlaku menurutnya, umat Islam berdepan golongan radikal yang mahu berperang dan menimbulkan kekeliruan.

“Saya rasa Islamofobia semakin meningkat. Cara terbaik untuk menanganinya adalah menerusi komunikasi, beritahu mereka siapa diri kita sebenarnya dan apa yang kita percaya,” katanya.

“Ia bukan satu misteri dan tidak ada apa yang perlu kita takuti.”

Sepeti juga bintang bola keranjang lain, kejayaan di gelanggang turut membuka laluannya untuk berlakon filem. Dia muncul dalam beberapa filem termasuk filem seni mempertahankan diri, Game of Death lakonan Bruce Lee pada 1979 dan filem komedi 1980, Airplane!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM