PENGUAT KUASA KPDN Pulau Pinang memeriksa keropok pelbagai perisa yang menggunakan logo halal tamat tempoh ketika serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan KPDN Pulau Pinang
PENGUAT KUASA KPDN Pulau Pinang memeriksa keropok pelbagai perisa yang menggunakan logo halal tamat tempoh ketika serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan KPDN Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita keropok pelbagai perisa yang menggunakan logo halal tamat tempoh dalam serbuan di sebuah rumah kedai dua tingkat, di sini, hari ini.

Pengarah KPDN negeri S Jegan, berkata serbuan dijalankan bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

Katanya, premis yang dijadikan kilang itu didapati menggunakan Logo Halal Malaysia yang sudah tamat tempoh sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa makanan ringan keropok pelbagai perisa.

"Serbuan membabitkan empat anggota penguat kuasa KPDN negeri dan dua pegawai Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Kesemua makanan ringan dengan nilai rampasan dianggarkan RM6,748 disita," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 11:08 PM