CHELSEA yakin penonton semakin bijak, tak mungkin dia dibenci hanya kerana bawa watak gadis anti-Islam.
CHELSEA yakin penonton semakin bijak, tak mungkin dia dibenci hanya kerana bawa watak gadis anti-Islam.
Syafil Syazwan Jefri


Islamofobia itu ada di mana-mana dan tentunya dalam dunia sekarang, ia boleh menular kerana beberapa pengaruh antaranya sogokan daripada Barat yang menganggap Islam sebagai agama pengganas.

Bagi pelakon Indonesia, Chelsea Islan, memegang peranan sebagai Keira dalam filem terbaru lakonannya, Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2) tentunya menjadi satu peluang buatnya untuk membantu menyampaikan mesej positif.

“Suka untuk saya jayakan watak sebagai gadis bernama Keira itu. Secara ringkas, Keira bersikap Islamofobia kerana pengalaman masa lampau.

“Dari situ, dia mula membenci mereka yang beragama Islam, sekali gus digambarkan sebagai gadis yang kerap memberontak.

“Menerusi watak Keira, saya harapkan ada mesej positif dan inspirasi buat penonton yang menontonnya,” katanya.

Beragama Kristian Katolik, Chelsea menganggap ini sekadar satu peranan dan tentunya penonton tidak akan terbawa-bawa sehingga ke luar panggung.

“Ia sekadar lakonan dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjayakan watak Keira seperti yang dimahukan pengarah.

“Penonton hari ini semakin bijak dan tak mungkin mereka akan membenci saya hanya kerana membawakan watak sebagai gadis anti-Islam itu,” katanya.

Akui sukar menjadi Keira

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalani penggambaran filem sekuel AAC itu, Chelsea berkongsi beberapa pengalaman yang sukar buatnya.

“Ada beberapa cabaran yang saya sahut untuk menjayakan watak Keira. Antaranya saya perlu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lenggok British. Itu satu perkara yang mencabar buat saya.

“Satu lagi adalah untuk bermain biola kerana Keira gadis yang menyimpan impian untuk menjadi pemain biola tersohor.

“Saya pernah belajar bermain biola satu ketika dulu, tapi untuk menjadi Keira, saya kembali belajar selama tiga bulan supaya ia nampak lebih berkesan di skrin layar lebar,” katanya.

Ditanya sama ada ada persamaan antara dirinya dengan watak Keira, Chelsea memberi jawapan ringkas.

“Tidak. Watak dan peribadi Keira sangat berbeza dengan personaliti saya. Sebab itu ia menjadi sangat sukar untuk saya. Terima kasih kepada pengarah yang banyak membantu saya membentuk watak Keira,” katanya.

Menurut Chelsea, walaupun waktunya terbatas untuk beberapa komitmen lain, dia sempat membaca bahagian novel membabitkan Keira.

“Pihak produksi ada memberikan novel dan saya sempat membaca bahagian membabitkan watak Keira. Jadi, sedikit sebanyak saya jadikan itu sebagai panduan,” katanya.

Tak hanya dikenali sebagai pelakon filem, Chelsea yang pernah membintangi lebih 10 filem ini juga kerap beraksi di kaca TV serta pentas teater selain menjadi wajah untuk beberapa jenama antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 1:44 AM