BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengajak umat Islam untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah dalam usaha membebaskan diri daripada budaya syirik, zalim, penindasan dan kejahilan.

Anwar berkata penghayatan itu amat bermakna bagi mengubah diri umat Islam ke arah budaya baharu, akidah baharu, keyakinan dan pemikiran baharu serta sistem kemasyarakatan yang baharu.

"Ini untuk mengingatkan kita bahawa semangat hijrah ialah semangat perubahan. Mudah-mudahan semangat hijrah ini kita dapat bawa perubahan dalam masyarakat.

"Kita harus bangun dan mulakan kesedaran bermula dengan pembersihan jiwa, hati nurani dan kehidupan. Barulah boleh diisi dengan nilai baharu dan semangat baharu," kata beliau ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Anwar berkata fahaman yang sempit dan ketaasuban perlu ditinggalkan dengan memilih ilmu serta kefahaman demi kemaslahatan ummah.

"Kalau kita masih kusut dengan fahaman jahiliah, kejahilan, kezaliman dan penindasan, maka kita tidak boleh mengisi (diri) dengan fahaman baharu dan tindakan baharu," kata beliau.

Mengenai penganjuran majlis Ilmu Madani, Anwar berkata majlis berkenaan diadakan secara berkala di Kompleks Seri Perdana bagi membolehkan kediaman rasmi Perdana Menteri itu menjadi markas ilmu.

"Kita mahu sentiasa hidupkan (Kompleks Seri Perdana) dengan pencerahan (ilmu) dan kita tidak mahu sempitkan dengan fahaman politik," katanya sambil meraikan kehadiran dua tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M sebagai penceramah jemputan majlis itu.

Dua tokoh berkenaan ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Datuk Seri Hassan Ahmad dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa Prof Dr Ali Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada bekas Mufti Pulau Pinang dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu.

Sementara itu, Hassan menasihati umat Islam supaya meninggalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran dan perintah Allah bagi mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

"Lima perkara iaitu masa, tempat, anggota badan, malaikat dan harta benda akan jadi saksi di akhirat. Dan kita perlu sentiasa beringat serta berbaik-baik sesama manusia," katanya.

Sheikh Ali Al-Qaradaghi pula memuji konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Anwar dengan menyifatkan ia sebagai suatu konsep pemerintahan yang matang dan adil.

"Konsep Madani yang diperkenalkan di Malaysia merupakan suatu keaslian yang melawan kemunduran dan membentuk kehidupan bersistem," katanya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 150 tetamu yang merupakan wakil daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Himpunan Mahasiswa Islam, Pelajar Islam Indonesia dan Persatuan Muslim Muda Thailand (YMAT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 10:42 PM