Ahmad Shabery sebanyak 12 kluster diperkenalkan sempena Hari Peneroka Felda 2024
Ahmad Shabery sebanyak 12 kluster diperkenalkan sempena Hari Peneroka Felda 2024

Serdang: Hari Peneroka Felda 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini bakal menghimpunkan 500,000 peneroka dan pengunjung daripada keseluruhan tanah rancangan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penganjuran berskala besar itu dengan pelbagai program dan pameran diatur sebagai pengisian sepanjang tiga hari penganjurannya.

Katanya, antara program dan aktiviti yang akan diadakan adalah Felda berselawat, Semarak Subuh, pameran 317 makanan seluruh rancangan, karnival pendidikan dan kerjaya serta Himpunan Dua Roda membabitkan 50,000 peserta yang bakal memecahkan rekod Malaysia Book Of Records (MBOR).

"Penonton turut disajikan dengan persembahan nyanyian oleh artis anak kelahiran Felda.

"Konsert yang diadakan pada malam terakhir menampilkan antaranya Mawi, Siti Nordiana, Exists dan band terkenal dari Indonesia iaitu Ungu," katanya selepas melancarkan lagu Segalanya Felda.

Mengenai lagu Segalanya Felda yang dinyanyikan oleh Ayie Lantara dan Yabang pula, Ahmad Shabery memberitahu ia mengisahkan perjuangan peneroka sehingga ke tahap sekarang.

"Ia adalah hasil kepimpinan bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien yang memulihkan Felda dan mencipta perubahan bagi masyarakat luar bandar kepada sesuatu lebih baik seperti apa dapat kita saksikan hari ini," katanya di mana lagu itu dilancarkan sempena Hari Peneroka tahun ini.

Sambutan Hari Peneroka Felda yang julung kali diadakan tiga hari pada tahun ini mendapat sokongan daripada 12 kementerian, agensi dan rakan strategik yang mengambil bahagian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan acara itu pada 14 Julai.

Hari Peneroka jatuh pada 7 Julai setiap tahun dan ia ditetapkan oleh Tun Abdul Razak yang juga pengasas Felda.

Tarikh keramat itu adalah hari penghormatan buat peneroka Felda yang menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:17 AM