ANTARA Pati yang diberkas JIM Perak dalam serbuan di tiga premis termasuk sarang kegiatan pelacuran di Ipoh, hari ini. FOTO FB JIM
ANTARA Pati yang diberkas JIM Perak dalam serbuan di tiga premis termasuk sarang kegiatan pelacuran di Ipoh, hari ini. FOTO FB JIM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seramai 78 wanita antara 88 pendatang asing tanpa izin (Pati) diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan di tiga premis termasuk satu daripadanya sarang kegiatan pelacuran di bandar raya ini, hari ini.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, seramai 27 daripada wanita itu ditahan di premis pelacuran dipercayai menjalankan aktiviti persundalan, manakala selebihnya adalah gadis pelayan pelanggan (GRO).

Beliau berkata, selain premis penginapan yang dijadikan sarang pelacuran berkenaan, operasi 'Ops Gegar' itu yang dijalankan jam 11 malam Selasa hingga 1 pagi tadi turut menyasarkan dua premis hiburan eksklusif.

Menurutnya, ketika serbuan ke atas sarang pelacuran itu, terdapat segelintir dari Pati berkenaan bertindak bersembunyi di ruangan 'rahsia' di bahagian bumbung premis itu bagi menghindari pasukan serbuan.

Katanya, operasi dijalankan Unit Risikan & Operasi, Bahagian Penguat kuasa JIM Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, membabitkan kekuatan seramai 35 orang Pegawai Imigresen dan 22 orang pegawai serta anggota PGA.

Meor Hezbullah berkata, seramai 154 orang termasuk warga tempatan diperiksa dalam serbuan itu dengan 88 daripada mereka ditahan kerana didapati dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Dalam operasi itu, JIM Perak menggempur sebuah premis penginapan yang dijadikan sarang pelacuran dan dua premis hiburan eksklusif di tengah pusat bandar lpoh, hasil daripada aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di semua lokasi terbabit.

"Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen lpoh, bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)\c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen1959/63, dan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 64 warga Thailand, Vietnam (13), Nepal (4), India (3), Bangladesh (3) serta Sri Lanka (1) membabitkan pecahan jantina 78 wanita dan 10 lelaki, dalam lingkungan usia antara 21 hingga 46 tahun.

Menurutnya lagi, sebanyak 14 Borang Imigresen 29 iaitu saman saksi sudah dikeluarkan kepada pemilik dan penjaga premis terbabit yang juga warga tempatan untuk diminta hadir ke Bahagian Penguat kuasa JIM Perak.

"Ia bertujuan merakam percakapan dan siasatan lanjut sebelum sebarang hukuman diputuskan di bawah Akta 155 dan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:12 AM