POLIS menjalankan pemeriksaan ke atas dua mayat wanita yang ditemui dalam sebuah kereta. FOTO Nur Izzati Mohamad
POLIS menjalankan pemeriksaan ke atas dua mayat wanita yang ditemui dalam sebuah kereta. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Dua mayat wanita ditemukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, hari ini.

Insiden kira-kira jam 5.30 petang itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci.

"Sebaik tiba pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.

"Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Difahamkan, dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih daripada lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.

Seorang daripada mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.

Mayat kedua-dua wanita terbabit dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:08 AM