AKSI Nazem ketika mewakili Toronto Maple Leafs.
AKSI Nazem ketika mewakili Toronto Maple Leafs.

Nazem Kadri akhirnya berjaya memenuhi impian bapanya, Sam Kadri yang bercita-cita mahu menjadi seorang atlet hoki ais.

Sewaktu Sam tiba di Kanada pada 1968, rakan di sekolahnya sering memperkatakan mengenai sukan itu. Secara beransur-ansur beliau meminati sukan itu, berlatih menggunakan bola tenis dan sentiasa menonton aksi pasukan kegemarannya, Montreal Canadiens di televisyen.

Namun, beliau tidak dapat meneruskan impiannya itu apatah lagi dibesarkan dalam keluarga yang ramai membuatkan ibu bapanya tidak mampu menampung kos sukan itu yang tinggi.

“Saya sentiasa cemburukan rakan saya,” kata Sam. “Saya berkata kepada diri bila saya mendapat seorang anak lelaki, saya akan pastikan dia akan bermain.”

Doanya dimakbulkan 24 tahun lalu, apabila isterinya Sue melahirkan Nazem, anak kedua mereka.

Dalam perjalanan ke hospital, dia mendengar lagu nyanyian Tom Cochrane, Big League daripada radio keretanya, menceritakan mengenai harapan seorang ayah kepada anaknya untuk menjadi seorang pemain Liga Hoki Ais Kebangsaan (NHL).

“Saya tahu ia akan berlaku. Ia bagaikan satu petanda,” katanya.

Nazem bersyukur kerana dapat memenuhi hajat bapanya dan menjadi pemain disegani di Kanada.

“Bapa saya mencapai impiannya menerusi saya. Dia berharap mendapat peluang untuk berjaya dalam sukan itu dan melakukan perkara yang saya lakukan kini,” katanya yang mendapat inspirasi daripada atlet berjaya seperti Muhammad Ali, Kareem Abdul-Jabbar dan Hakim Olajuwon yang diceritakan bapanya.

“Bagaimanapun, dia tidak dapat meneruskannya kerana pelbagai sebab, keluarga, kewangan dan latar belakangnya.”

Namun, apa yang lebih istimewa, Nazem bukannya anak jati Kanada sebaliknya keturunan pendatang Lubnan yang menempa nama dalam sukan itu, apatah lagi sebagai pemain Muslim.

Dia menjadi kebanggaan skuad Toronto Maple Leaf hingga kini, meskipun ketika ini dia digantung dua perlawanan berikutan masalah ‘disiplin’.

Bagi Nazem, perbezaan kepercayaan bukan satu isu besar buatnya.

“Ia satu perkara yang membuat saya bangga. Saya sedar tidak ramai yang mempunyai latar belakang seperti saya,” kata Nazem.

“Ia sudah menjadi sukan yang mempunyai kepelbagaian, saya rasa lebih ramai pemain ditonjolkan media, pastinya mereka mempunyai latar belakang berbeza.”

Sebaik dipilih menerusi NHL Entry Draft, Nazem memberitahu wartawan: “Ramai kanak-kanak Muslim mula bermain hoki ais kerana mereka melihat seseorang seperti mereka berjaya dalam bidang itu.”

“Sewaktu saya mula bermain, tidak ramai pemain seperti saya. Hanya pemain Kanada atau kulit putih. Sekarang bila saya melihat sepupu saya beraksi, anda boleh melihat kepelbagaian latar belakang.

“Ia mula menjadi seperti besbol apabila pemainnya datang dari tempat berbeza. Hebat bila anda mampu melakukan perubahan.”

Di sebalik populariti yang ditempanya, Nazem tidak pernah lupa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dua tahun lalu, Nazem menganjurkan Kejohanan Golf Klasik Amal Nazem Kadri, di FireRock Golf Club, Komoka dan berjaya mengutip dana AS$110,000 (RM405,367) untuk membantu Muslim Resource Centre, St. Joseph’s Health Care Breast Care Centre dan Brain Tumour Foundation of Canada.

“Kami kenal dia sejak kanak-kanak lagi,” kata ahli Masjid Muslim London, Hassan Mustafa yang menjadi pengerusi bersama kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:02 AM