DJOKOVIC ketika sesi latihan. FOTO AFP
DJOKOVIC ketika sesi latihan. FOTO AFP
AFP

London: Juara tujuh kali, Novak Djokovic mara ke separuh akhir Wimbledon selepas lawannya, Alex de Minaur terpaksa menarik diri daripada aksi suku akhir akibat kecederaan pinggul.

Pemain pilihan kesembilan dari Australia, De Minaur, mengalami kecederaan itu ketika meraih kemenangan pada pusingan keempat ke atas Arthur Fils.

"Saya sangat kecewa untuk menarik diri kerana kecederaan pinggul. Tidak dinafikan ia akan menjadi perlawanan terbesar dalam kerjaya saya tetapi ia adalah kecederaan yang unik," kata pemain berusia 25 tahun itu.

"Saya bangun pagi ini dengan mengharapkan berlaku keajaiban tetapi terdapat risiko tinggi yang mungkin akan menyebabkan kecederaan bertambah teruk jika saya melangkah ke gelanggang.

"Jika tersilap langkah saya berisiko berehat antara tiga minggu sehingga empat bulan. Ia terlalu berisiko," katanya lagi.

Djokovic akan bermain dalam separuh akhir Wimbledon yang ke-13, menyamai rekod juara lapan kali All England Club, Roger Federer, dan yang ke-49 dalam Grand Slam.

De Minaur mengalami kecederaan itu pada hujung perlawanan kemenangannya empat set menentang Fils di Court 1, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 10:56 PM