AHMAD Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai barang yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran sesat, Millah Abraham. FOTO Azrul Edham
AHMAD Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai barang yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran sesat, Millah Abraham. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Tiga beranak ditahan masing-masing di Felda Sungai Kelamah dan Felda Palong 3, dekat Gemas, Tampin, hari ini kerana disyaki menganggotai ajaran sesat, Millah Abraham.

Dalam serbuan serentak kira-kira jam 6 petang itu, pasukan Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut merampas pelbagai barang yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran itu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, suspek dipercayai cuba menyebarkan ajaran berkenaan termasuk menggunakan kaedah digital.

"Hari ini kami menjalankan satu operasi bersama polis dari Kontinjen Negeri Sembilan berkaitan ajaran salah di dua lokasi secara serentak, kira-kira 6 petang.

"Hasil pemeriksaan kami menahan suami isteri masing-masing berusia 40-an di Felda Sungai Kelamah dan anaknya yang berusia 16 tahun di Felda Palong 3.

"Remaja berkenaan difahamkan tidak bersekolah," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, tiga beranak itu disyaki menjadi ahli fahaman atau ajaran Millah Abraham yang difatwakan haram di Negeri Sembilan pada 2019 yang mana bercanggah dengan ajaran Islam.

"Hasil pemeriksaan juga menemui 15 barang iaitu telefon bimbit, buku nota, komputer riba dan tablet yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan ajaran berkenaan.

"Operasi dijalankan hasil maklumat awam. Mereka ini dipercayai cuba menyebarkan ajaran ini kepada masyarakat dan cuba merekrut ahli baharu di Negeri Sembilan.

"Ketika ditahan suspek tidak melakukan sebarang aktiviti (bercanggah) namun difahamkan mereka cuba menyebarkan ajaran ini kepada ahli keluarga, rakan dan seterusnya kepada rakan atas rakan.

"Mereka tidak mempunyai markas, namun difahamkan melakukan pertemuan fizikal secara peribadi untuk menyebarkan ajaran ini.

"Mereka bergerak secara sembunyi dan kini juga beralih kepada kaedah digital," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan dengan ajaran meragukan dan siasatan masih diteruskan selain tidak menolak kemungkinan akan menahan lebih ramai ahli lain.

"Saya juga menyeru kepada masyarakat supaya mencari guru yang mempunyai tauliah dan kebenaran daripada pihak berkuasa agama kerana dikhuatiri bertemu guru yang salah.

"Kami meraikan minat masyarakat untuk mendalami ilmu agama, namun bagi sesetengah masyarakat yang tiada ilmu asas agama dibimbangi akan jumpa guru yang bawa ajaran yang tidak betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 10:31 PM