Fuad Hadinata Yaacob


Klang: Siling dewan bankuet di pusat beli-belah di sini yang sedang dinaik taraf runtuh, 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kematian berlaku.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, ketika kejadian terdapat 57 pekerja di dalam dewan bankuet itu sebelum siling dewan itu runtuh secara tiba-tiba.

Beliau berkata, semua pekerja berjaya menyelamatkan diri kerana runtuhan itu berlaku sedikit demi sedikit.

"Siasatan lanjut termasuk menggunakan anjing pengesan bomba tidak menemui petunjuk ada mangsa tertimbus dalam kejadian ini.

"Semua mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya di sini sebentar tadi.

Menurutnya, keluasan siling yang jatuh itu dianggarkan 18.6 x 9.3 meter persegi.

Beliau berkata, kes itu akan diserahkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 3:05 PM
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan  selepas siling dewan bankuet runtuh. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan selepas siling dewan bankuet runtuh. FOTO ihsan Bomba