AZRIL
AZRIL
Siti Zarinah Sahib

Pada saat beberapa pengasas produk berlumba-lumba untuk dikenali dengan menaja program televisyen popular, pengasas V’Asia Cosmetic & Healthcare Datuk Azril Mohd Radzi tampil menggunakan pendekatan berbeza.

Baginya, populariti tidak menjamin peningkatan penjualan produk kerana apa yang penting adalah mengekalkan kualiti agar produk lebih dikenali berbanding dirinya sendiri.

Ini bukan bermakna dia tidak menghargai publisiti atau berasakan tidak perlu tetapi dikenali kerana perkara positif lebih berbaloi berbanding mencari nama semata-mata. Namun setiap orang mempunyai pandangan dan tujuan berbeza.

“Ada orang berasa menonjolkan diri dapat meningkatkan penjualan produk. Ada pula rasa penajaan program popular sebagai satu langkah untuk masyarakat mengingati jenama dan nama tuan empunya produk. Tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan penjualan dan menambah jumlah pengguna? Adakah sudah terbukti berkesan?

“Sebab itu saya lebih suka bersikap ‘kurang dikenali’ dan berada di belakang tabir. Biarlah orang tidak mengenali saya asalkan jenama V’Asia diketahui umum dan terbukti berkesan kepada pengguna,” katanya hadir ke studio Balai Berita, Kuala Lumpur bagi memenuhi temu ramah dengan M.

Menjalankan perniagaan sejak tujuh tahun lalu, dalam tempoh itu dia tidak pernah ‘duduk diam’ dan bersengkang mata bagi memastikan rangkaian produk serta warisan perniagaannya kukuh serta mampu menguasai pasaran.

Baginya, glamor dan populariti tidak menjanjikan apa-apa pulangan, ia adalah perkara nombor dua kerana kuasa membeli masih di tangan pengguna.

“Sebab itu fokus saya kepada penghasilan produk berkualiti bagi memenuhi permintaan pelanggan. Mereka bukan setakat membeli buat kali pertama tetapi menjadi pelanggan tetap dan percaya dengan produk keluaran saya. Sebab itu saya sangat memilih dan muncul dalam beberapa rancangan televisyen saja seperti Jom Singgah, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) dan Wanita Hari Ini,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dalam era teknologi masa kini pelbagai perkara boleh berlaku. Biarlah berada dalam keadaan serba sederhana daripada mempertontonkan kekayaan kepada umum kerana ia turut mengundang bahaya. Semuanya ada kebaikan dan keburukannya, terpulang di mana paksi kita berada.

Minat jadi juruterbang

Mendapat pendidikan awal di SRK Seksyen 6 Shah Alam, St James, Brunei Darussalam dan SMK Seksyen 9, Shah Alam, anak ketiga daripada empat beradik ini kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan pesawat di Universiti Kuala Lumpur.

Menurut Azril, memang sejak kecil dia bercita-cita menjadi juruterbang kerana ingin mencabar diri. Namun hasrat ini dihalang ibu bapa kerana bimbang keselamatan dirinya.

Terpilih antara pelajar cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA), semasa tempoh pengajian Azril mula berjinak-jinak dalam perniagaan apabila diperkenalkan kepada produk makanan tambahan oleh rakan baik yang juga pakar pemakanan.

“Pada usia 19 tahun saya mengalami masalah obesiti dengan berat mencecah 100 kilogram. Muka pula dipenuhi jerawat menyebabkan saya kurang keyakinan diri. Lalu saya mencuba pelbagai produk untuk merawat kulit dan menurunkan berat badan. Selepas mencuba produk yang disyorkan selama beberapa bulan, berat badan berkurangan malah kulit pula menjadi lebih bersih,” katanya.

Perubahan positif ini menyebabkan orang di sekelilingnya bertanyakan amalannya. Dari situ dia mula terbabit dalam bidang perniagaan walaupun tidak pernah merancang untuk bergelar usahawan.

Dengan hanya bermodalkan ratusan ringgit, Azril membeli makanan tambahan itu dan dijual kepada rakan terdekat bertujuan menambah pendapatan sampingan. Tidak sangka keberkesanan mengamalkan produk itu menyebabkan jumlah permintaan meningkat sehingga dia mampu menyimpan sebanyak RM50,000 dalam tempoh lima tahun pengajian.

“Saya mula seronok kerana mempunyai pendapatan sendiri. Saya mula menanam impian untuk bergelar usahawan selepas menamatkan pengajian. Namun ia dihalang ibu bapa kerana mereka mahu saya bekerja makan gaji. Mereka kurang yakin kerana dalam kalangan ahli keluarga, belum ada sejarah yang menjalankan perniagaan dan mampu hidup senang.

“Oleh itu saya diberikan tempoh dua tahun untuk membuktikan perniagaan yang saya ceburi menjanjikan pulangan, jika tidak saya perlu menunaikan permintaan mereka untuk menyambung belajar atau bekerja makan gaji. Alhamdulillah, berkat usaha dan tidak kenal erti putus asa, saya berjaya meyakinkan mereka dengan mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama V’Asia pada 2010,” katanya.

Namun ada kisah di sebalik pembukaan V’Asia kerana ia bermula dengan D’Asia pada 2008 iaitu syarikat yang dikongsi berkongsi rakan baiknya sendiri. Namun malangnya, dia ditipu sehingga menyebabkan kes itu diselesaikan mengikut prosedur mahkamah.

“Alhamdulillah saya menang dalam kes itu. Namun saya belajar sesuatu, apa saja jenis perniagaan jangan sesekali berkongsi kerana ia membabitkan persetujuan dua pihak. Lebih baik bermula sendiri secara berdikit-dikit,” katanya yang mengeluarkan produk pertama berasaskan serat, kolagen dan kolagen soya.

Kini produknya meningkat kepada 100 jenis termasuk kosmetik, set bersalin dan makanan kesihatan.

Lambakan produk palsu

Hampir tujuh tahun dalam industri ini, jelas Azril, 2016 tahun paling mencabar kerana berdepan pelbagai produk palsu. Ramai usahawan ingin menjadi jutawan segera dengan menghasilkan produk yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta memberikan kesan yang cepat.

“Ada yang berani menjual secara timbang dengan mengambil produk luar negara yang tiada kesahihannya. Ia dijual menerusi dalam talian secara bebas dan berleluasa. Pengguna pula tertarik dengan testimoni sehingga tidak memikirkan mengenai bahaya kepada kulit dan badan asalkan mereka mendapat kulit cerah dengan cepat,” katanya yang memenangi Asia Pacific Super Health Brand Award tiga tahun berturut-turut sejak 2014.

Pada masa sama, Azril ingin mendidik pengguna agar memilih produk mengikut piawaian KKM dan tidak menggunakan produk mengandungi bahan berbahaya.

Semua produk V’Asia dirumus sendiri dengan dibantu rakan yang mempunyai kepakaran dalam teknologi makanan dan dikeluarkan menerusi kilang sendiri iaitu V’Asia Manufacturing Sdn Bhd yang beroperasi selama empat tahun dengan mempunyai 90 pekerja. Selain kilang, V’Asia melalui Prestige Herbs Sdn Bhd juga menjadi pembekal komponen tulen (OEM) kepada 10 pengeluar kosmetik.

Seiring perkembangan syarikatnya, Azril kini fokus meluaskan pasaran rangkaian produknya ke peringkat antarabangsa berikutan permintaan tinggi daripada pengguna. Menjelang akhir tahun ini, produknya akan menembusi pasaran Indonesia.

Pada tahun ini Azril berkata, V’Asia menyasarkan untuk mengeluarkan lebih 10 produk dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 juta. Produk ini termasuk penjagaan wanita dan lelaki, solekan dan kosmetik. Pada masa sama, dia mahu lebih ramai Bumiputera terbabit dalam bidang perniagaan kerana tanpa disedari ekonomi masih dimonopoli bangsa asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:35 AM