Hamidin (kiri) sudah memaklumkan kepada AFC. FOTO HM/FAM
Hamidin (kiri) sudah memaklumkan kepada AFC. FOTO HM/FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tidak akan terbang ke Korea Utara bagi aksi kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini atas sebab-sebab keselamatan.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu, mhari ini, kerajaan Malaysia tidak membenarkan pemergian skuad bola sepak kebangsaan ke Pyongyang yang dibimbangi akan mengancam keselamatan pemain dan pegawai pasukan sepanjang berada di sana.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di samping turut memohon pertimbangan agar aksi itu dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

"Saya juga sudah menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John yang kini berada di Kemboja bagi memaklumkan harapan Persatuan supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan itu.

"Ia bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini," katanya, hari ini.

Perubahan venue itu sekali gus mengiyakan laporan Arena Metro hari ini di mana AFC mengakui turut bimbang akan situasi perhubungan diplomatik kedua-dua buah negara yang dilihat semakin tegang.

Justeru, AFC hanya menanti laporan FAM sebelum boleh menukar lokasi perlawanan ke tempat baharu atau menunda aksi pertama kumpulan B itu ke tarikh lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 5:05 PM