PASUKAN kebangsaan dijangka  berlepas ke Pyongyang 23 Mac depan.
PASUKAN kebangsaan dijangka berlepas ke Pyongyang 23 Mac depan.
Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Status perlawanan skuad Harimau Malaysia menentang Korea Utara bagi aksi Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang bulan depan kembali menjadi tanda tanya susulan kerajaan Malaysia memanggil pulang duta di republik itu semalam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, tindakan itu dibuat sebagai proses rundingan kerajaan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, mereka memantau perkembangan terkini situasi di Pyongyang dan akan mendapatkan keputusan mengenai jaminan keselamatan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Setakat ini kami tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung status terbaru perlawanan itu dan kami akan menghubungi AFC.

“Kalau tak selamat, sudah pasti AFC tak akan benarkan pasukan kebangsaan bermain di sana. Tapi setakat ini masih OK lagi,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco FAM ke-11 semalam.

Skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee dijangka berlepas ke Pyongyang 23 Mac depan bagi mengharungi perlawanan pertama Kumpulan B menentang Korea Utara pada 28 Mac.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John mengesahkan perlawanan itu berlangsung mengikut jadual meskipun ada kebimbangan susulan kes kematian abang ipar pemimpin Korea Utara Kim Jong Un iaitu Kim Jong Nam.

Hamidin berkata, jika perlawanan itu tidak dapat diadakan di Pyongyang, kemungkinan Harimau Malaysia bakal beraksi di gelanggang berkecuali.

“AFC akan membuat keputusan mengenai venue perlawanan, jika ada perubahan mungkin akan bermain di gelanggang berkecuali,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:41 AM