Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Lelaki warga Korea Utara, Ri Jong-chol dipercayai sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melengkapkan proses yang diperlukan sebelum pengusiran dari negara ini.

Jong-chol, 47, akan berlepas dengan diiringi dua wakil Kedutaan Korea Utara serta difahamkan transit di Beijing, China terlebih dulu menerusi pesawat Malaysian Airlines Berhad MH360 jam 6.25 petang.

Sekitar jam 3.30 petang, kelihatan kelibat Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu-Song di aras lima Balai Pelepasan KLIA dan pengamal media berusaha mendapatkan maklum balas daripadanya namun beliau enggan memberikan sebarang komen.

Bagaimanapun, pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu di aras lima Balai Pelepasan KLIA sejak jam 8 pagi tidak melihat Jong-chol kerana dipercayai dibawa masuk menerusi laluan lain.

Malah, dikatakan Jong-chol dibawa ke Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC) KLIA untuk bertemu ahli keluarganya.

Menerusi kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam, lelaki itu akan diusir ke negara asal.

Beliau berkata, keputusan itu diambil berikutan kekurangan bahan bukti bagi mensabitkannya dalam kes pembunuhan itu.

Pada 17 Februari lalu, polis menahan Jong-chol dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur jam 9.50 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:02 PM