SUSPEK dibawa keluar dari IPD Sepang ke Jabatan Imigresen Putrajaya.
SUSPEK dibawa keluar dari IPD Sepang ke Jabatan Imigresen Putrajaya.
KENDERAAN membawa suspek tiba di Jabatan Imigresen Putrajaya. FOTO Mod Fadli Hamzah
KENDERAAN membawa suspek tiba di Jabatan Imigresen Putrajaya. FOTO Mod Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Lelaki warga Korea Utara, Ri Jong-chol yang sebelum ini ditahan reman berkaitan kes pembunuhan Kim Jong-nam, tiba di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di sini, 9.17 pagi tadi, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Jong-chol tiba di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen diringi dua polis trafik bermotosikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga kereta dan dua kenderaan peronda polis (MPV) sebelum menuju ke ruang tempat letak kenderaan di bawah tanah bangunan.

Difahamkan, lelaki berkenaan perlu hadir ke ibu pejabat Jabatan Imigresen bagi melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk pengambilan cap jari dan mendapatkan Memo Periksa Keluar (COM) untuk proses pengusiran.

Jong-chol sebelum ini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam kenyataan semalam mengesahkan lelaki itu akan diusir keluar ke negara asalnya hari ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil berikutan kekurangan bahan bukti bagi menyabitkannya dalam kes pembunuhan itu.

Jong-chol, 47, adalah suspek keempat ditahan selepas dua wanita masing-masing warga Indonesia dan Vietnam dan seorang lelaki tempatan ditahan sebelum itu.

Lebih 50 pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu di perkarangan ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini sejak 7 pagi lagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan suspek terbabit.

Jong-nam yang menggunakan nama 'Kim Chol' dalam pasportnya dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lalu.

Berita berkaitan:

Pembunuhan Jong-Nam

Gambar Fariz Iswadi Ismail; Mohd Fadli Hamzah dan Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 9:48 AM