Yu-Song memberi kenyataan kepada media di luar IPD Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Yu-Song memberi kenyataan kepada media di luar IPD Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Kedutaan Korea Utara terus mendesak untuk bertemu suspek lelaki warga negara itu yang masih ditahan reman bagi siasatan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam.

Kaunselor Pentadbiran Kedutaan Korea Utara Kim Yu-Song berkata, pihaknya juga mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan serta sebab dan alasan penahanan suspek terbabit kepada kedutaan itu.

"Kami datang ke sini (Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang) untuk bertemu dengan pegawai yang terbabit berhubung keadaan warga negara kami, namun tidak berjaya berikutan mereka tiada di sini kerana menghadiri mesyuarat di Shah Alam.

"Sehingga kini, kami masih tidak mengetahui sebab penahanan (suspek) dan sebagai pihak kedutaan, kami bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan serta hak rakyat kami," katanya kepada pemberita di pekarangan IPD Sepang di sini, hari ini.

Pada 17 Februari lalu, polis menahan suspek keempat iaitu warga Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur jam 9.50 malam.

Dalam pada itu, Yu-Song turut mengulangi pendirian Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol yang meminta polis bekerjasama dengan pihak kedutaan mengenai penyiasatan kes pembunuhan berkenaan.

Terdahulu, pihak Kedutaan Korea Utara memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang jam 4.15 petang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard serta keluar dari lokasi ini 15 minit kemudian.

Sebaik keluar dari pintu utama, kenderaan itu terus berhenti di tepi jalan serta bertemu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu sejak 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 6:41 PM